KOTA BHARU : Pengundi tidak akan teragak-agak untuk menghukum UMNO sekali lagi dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) nanti sekiranya parti itu tidak membetulkan kesilapan lepas.

Ketua UMNO Bahagian Kereteh, Tan Sri Annuar Musa berkata, sekiranya UMNO terus sombong, mengekalkan budaya yang tidak berintegriti dan berebut jawatan, maka tidak hairanlah parti itu bakal menyaksikan satu lagi kegagalan.

Menurutnya, sebanyak tujuh juta pengundi muda bakal mendapat hak mengundi secara automatik pada tahun depan dengan 17,000 daripadanya melibatkan Bahagian Kereteh.

"Dulu hanya mereka yang mendaftar boleh mengundi, sekarang tak mendaftar pun sudah boleh mengundi.

"Anak-anak muda ini tengok pemimpin berebut jawatan, mereka tidak akan sokong. Mereka mahu tengok pemimpin yang berintegriti, mereka mahukan pemimpin yang bersih, mahu tengok kesilapan-kesilapan mereka diperbaiki, kerajaan yang berprestasi, bersih dan amanah.

"Jadi UMNO jangan lepaskan peluang ini untuk membetulkan diri. Kalau UMNO masih sombong, masih mengekalkan budaya tidak berintegriti, mempertahankan kesalahan yang telah dihukum rakyat, maka rakyat tidak akan teragak-agak hukum kita sekali lagi," katanya ketika berucap pada persidangan Perwakilan UMNO Bahagian Kereteh, di sini pada Jumaat.

Mengulas lanjut, Annuar yang juga Menteri Komunikasi dan Multimedia yakin, perkara itu juga yang berada di pemikiran ahli-ahli UMNO seluruh negara.

Justeru beliau meminta UMNO untuk berhenti percakaran sesama sendiri, sebaliknya menggerakkan gerakan menyatupadukan orang Melayu.

Bagi mencapai hasrat itu, beliau mahu UMNO untuk terus mengekalkan kerjasama dengan Pas.

"Saya tidak ada sebarang keraguan, selagi UMNO tidak berkerjasama dengan Pas dan Pas tidak berkerjasama dengan UMNO, perpaduan orang Melayu tidak lengkap, tidak sempurna.

"Maka semangat Muafakat Nasional (MN) yang kita bina dengan air mata, kepayahan dan kesusahan tidak seharusnya dikuburkan begitu sahaja," tambahnya lagi.