JOHOR BAHRU: UMNO Johor akan mengadakan Konvensyen Orang Melayu pada Jun ini, dalam usaha parti untuk mendapatkan pandangan dan hala tuju suara akar umbi kaum Melayu negeri itu.

Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Johor Datuk Onn Hafiz Ghazi berkata konvensyen itu antara gerak kerja utama yang dibincangkan dalam Mesyuarat Perhubungan UMNO Johor hari ini.

"Agenda UMNO Johor adalah untuk terus dapatkan sokongan daripada akar umbi bangsa Johor dan orang Melayu di Johor.

"Konvensyen ini akan membabitkan semua pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Melayu dan dijangka diadakan pada awal Jun ini," katanya selepas mempengerusikan Mesyuarat Badan Perhubungan UMNO buat kali pertama selepas dilantik ke jawatan itu, Disember lepas.

Onn Hafiz yang juga Ketua UMNO Bahagian Simpang Renggam berkata sesi bersama pimpinan UMNO bahagian seluruh negeri akan diadakan bagi memastikan pimpinan akar umbi memahami aspirasi memastikan Johor terus menjadi kubu kuat UMNO dan Barisan Nasional (BN).

Turut hadir, Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Johor Datuk Seri Ahmad Maslan dan Naib Presiden UMNO Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin.

Selain itu, Onn Hafiz turut menzahirkan ucapan terima kasih kepada Mohamed Khaled yang juga mantan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Johor atas jasa beliau selama dua tahun ini memegang jawatan tersebut.

-- BERNAMA