KUALA LUMPUR: UMNO akan terus bersama Kerajaan Perpaduan sehingga akhir penggal selaras dengan resolusi yang diputuskan pada Perhimpunan Agung UMNO.
Presidennya, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata, pendirian itu perlu dihormati meskipun terdapat perbezaan pandangan antara parti-parti yang membentuk kerajaan ketika ini.
Menurutnya, UMNO tidak menyanggah pendirian mana-mana pihak, khususnya Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
“Pendirian kita adalah tidak menyanggah mana-mana susuk tubuh, terutama Yang Amat Berhormat Perdana Menteri, kerana resolusi yang dibuat dalam Perhimpunan Agung UMNO harus dihormati.
“Kita akan terus bersama-sama Kerajaan Perpaduan Malaysia yang ada ini hingga akhir penggal. Kita pun tidak tahu bila akhir penggal,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media sempena Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2026 di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur, hari ini.
Ahmad Zahid berkata, perbezaan pendapat merupakan perkara biasa dalam sesebuah kerajaan gabungan dan perlu ditangani secara profesional.
Namun, beliau menegaskan, pemimpin UMNO yang menganggotai Jemaah Menteri tetap menjalankan tanggungjawab secara profesional.
“Selama kami berada di dalamnya, memang ada perbezaan pendapat tetapi kita ialah anggota Jemaah Menteri dan juga kepimpinan parti yang profesional.
“Kita mengambil pendirian bahawa perbezaan pendapat itu harus dihormati. Begitu juga kami menghormati perbezaan pendapat yang dilontarkan oleh mereka,” katanya.