MACHANG: Menyedari peratusan anak muda yang layak mengundi bertambah lebih 50 peratus di Kelantan, UMNO negeri sudah memulakan program mendekati pengundi muda sejak awal tahun ini.

Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Kelantan, Datuk Ahmad Jazlan Yaakob berkata, UMNO melalui sayap Pemuda sudah melihat kebangkitan pengundi muda bawah 39 tahun yang menguasai undi di kebanyakan negeri termasuk di Kelantan.

Untuk itu jelasnya, pelbagai program pendekatan kepada golongan itu telah lama bermula dan masih diteruskan hingga kini.

"Kita sedar akan pertambahan pengundi berusia bawah 39 hingga 18 tahun ini di Kelantan.

"UMNO Kelantan melalui sayap Pemuda, Wanita dan Puteri menjalinkan kerjasama dengan badan bukan kerajaan (NGO) untuk sesi libat urus anak muda, bersama dalam program perniagaan, usahawan anak muda, program sukan dalam komuniti dan libat urus dalam membantu usahawan dalam talian yang membabitkan anak muda" katanya kepada Astro AWANI.

Ahmad Jazlan berkata, UMNO Kelantan sedar kuasa undi anak muda masa kini yang akan mendominasi undi di seluruh negara.

"Anak muda dilihat mahukan perubahan baik di peringkat nasional maupun negeri, mereka merupakan pencetus gelombang kebangkitan.

"Ada sebahagian pengundi muda lebih memilih calon daripada parti, ada juga yang melihat wadah perjuangan parti dan manifestasi parti, ada juga yang masih belum membuat apa-apa keputusan, ada juga yang melihat perkembangan di saat akhir dan sebagainya.

"Apa pun jua situasinya dan kehendak pengundi muda itu, pemimpin parti dan calon perlu mengambil pendekatan untuk mencari keadah terbaik memenangi hati pengundi muda.

"Pilihan raya kali ini merupakan pilihan raya nasional bagi membentuk sebuah kerajaan yang stabil dan makmur.

"Apabila sebuah kerajaan yang stabil dapat dibentuk, ia akan membawa kemakmuran dan pemulihan ekonomi yang baik yang akhirnya pelaburan dan kestabilan itu akan membuka peluang dan manafaat kembali kepada generasi muda.

"Rekod membuktikan kerajaan Barisan Nasional sebelum ini mampu mentadbir negara dengan baik sehingga meletakkan negara pada suatu keadaan yang diyakini negara asing," katanya.

Ahmad Jazlan berkata, antara fokus dan perjuangan UMNO Kelantan adalah mengenai peluang dan ruang selesa termasuk peluang pekerjaan dan perniagaan untuk anak muda Kelantan.

Kelantan merupakan negeri ketiga mempunyai pengundi muda bawah 39 tahun tertinggi mewakili 55.3 peratus setakat ini.

Semalam, tinjauan pandangan Astri AWANI mendapati anak muda Kelantan mahukan perubahan dan kepimpinan, kerana mereka berpandangan perubahan kepimpinan dapat membawa kemajuan dan kecemerlangan untuk negara.