MOSCOW: Kesatuan Eropah (EU) membelanjakan lebih €100 bilion (US$113.5 bilion) tambahan untuk tenaga sejak awal 2026 semata-mata akibat kenaikan harga, tanpa menerima tambahan bekalan minyak atau gas bagi perbelanjaan itu, kata Pesuruhjaya Tenaga EU Dan Jorgensen pada Selasa, lapor Sputnik/RIA Novosti.
“Kita kini melepasi €100 bilion yang kita bayar lebih untuk tenaga tahun ini, tanpa menerima satu molekul gas atau minyak tambahan pun. Seratus bilion euro,” kata Jorgensen menjelang mesyuarat tidak rasmi menteri tenaga EU di Dublin.
Kos tambahan itu menunjukkan kesan kebergantungan Kesatuan Eropah terhadap sumber tenaga yang dibekalkan dari luar.
“Ini sudah tentu menunjukkan kepada kita betapa buruknya keadaan apabila kita bergantung dan betapa tidak mampannya kebergantungan kita terhadap sumber tenaga dari tempat lain di dunia,” kata Pesuruhjaya EU itu.
Jorgensen berkata kenaikan harga di pasaran global memberi kesan secara langsung kepada pengguna dan sektor industri di Eropah.
Pesuruhjaya EU itu turut berkata EU berhasrat mengurangkan kebergantungan terhadap bahan api fosil yang diimport dengan membangunkan sumber tenaga boleh diperbaharui sendiri serta memperluas penggunaan elektrifikasi.
-- BERNAMA-SPUTNIK/RIA NOVOSTI