UMNO hari ini melancarkan jentera pilihan raya kecil (PRK) bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Rantau.

Ia sebagai persediaan menghadapi sebarang kemungkinan berhubung keputusan mahkamah mengenai petisyen calon PKR DUN berkenaan, Dr S Streram pada pilhan raya umum ke-14 (PRU14) lalu.

Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, penubuhan jentera tersebut adalah bagi melancarkan gerak kerja parti di peringkat akar umbi.

“Jika mahkamah memutuskan bahawa pilihan raya kecil Rantau diadakan.. kita bersedialah.

“Kita perlu jangkakan scenario paling buruk. Kita kena bersedia,” katanya pada Perjumpaan Khas ahli UMNO Negeri Sembilan bersama Presiden UMNO, hari ini.

Sementara itu, Timbalan Presiden UMNO yang juga ahli DUN Rantau, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, beliau menjangkakan keputusan petisyen PRK itu akan diputuskan pada minggu hadapan.

Bagaimanapun beliau berharap dan akan melahirkan rasa syukur sekiranya PRK DUN Rantau tidak diadakan.

Pada PRU14, 9 Mei lalu, Datuk Seri Mohamad menang tanpa bertanding kerusi tersebut selepas Dr Streram dilarang masuk ke pusat penamaan calon, ekoran tidak memiliki pas yang dikeluarkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

Berikutan itu, pada 23 Mei lalu, Dr Streram memfailkan petisyen di mahkamah bagi memohon PRK DUN itu diadakan semula, kerana mendakwa penyandangnya tidak dipilih secara sah dan terbatal.

Dalam petisyennya, beliau menamakan Datuk Seri Mohamad sebagai responden pertama; pegawai pengurus pilihan raya bagi kawasan Parlimen Rembau, Amino Agus sebagai reponden kedua; dan SPR responden ketiga.

Ketika ini kes tersebut masih berjalan.