KUALA LUMPUR: UMNO perlu mengambil serius pandangan Tan Sri Annuar Musa dalam isu penjajaran politik parti di negara ini.

Ketua UMNO Bahagian Jelebu, Datuk Jalaluddin Alias menjelaskan, sebarang kenyataan bekas Setiausaha Agung UMNO itu tidak boleh ditolak bulat-bulat kerana kepentingan pihak tertentu di dalam parti.

"Kalau kerjasama dengan DAP sudah terbukti ditolak oleh rakyat atau masyarakat ketika 22 bulan mereka menjadi kerajaan Pakatan Harapan dahulu.

"Tetapi ada orang cakap, pada masa sama Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) juga ditolak, tetapi kita harus ingat bahawa semua tahu dan faham apa yang dilakukan oleh DAP ketika itu.

"Sebab DAP adalah parti dominan termasuk PKR berbanding Bersatu, jadi maknanya ini semua kita perlu ambil kira," katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.

BACA: Ada 'breakdown' dalam usaha pertemukan pucuk pimpinan UMNO-Bersatu - Annuar Musa

BACA: 'Saya lebih senior dari Zahid, jangan pertikai kesetiaan saya' - Annuar

Sebelum ini, Annuar mendedahkan bagaimana tugas yang diarahkan kepada beliau untuk menjadi jambatan antara UMNO dan Bersatu terkandas apabila ada kepincangan atau ‘breakdown’ dalam usaha mempertemukan pucuk pimpinan dua parti itu.

Tegasnya, arahan daripada Presiden UMNO Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi ialah supaya beliau berhubung dengan Bersatu, namun akhirnya, beliau yang dituduh menjadi duri dalam daging parti.

Dalam pada itu jelas Jalaluddin, paling penting ialah memegang keputusan parti untuk tidak mengadakan sebarang gabungan bersama DAP atau PKR walaupun selepas pilihan raya umum (PRU).

Tambahnya, persefahaman antara parti Pas atau Bersatu juga harus diperolehi sebelum pembubaran Parlimen.

Katanya, jika terlambat, kemenangan itu tidak akan dapat dikecapi berbanding yang diputuskan sebelum PRU.

Annuar sebelum ini mengingatkan pihak tertentu agar tidak mempertikaikan kesetiaannya terhadap parti itu.

Jelasnya, penglibatannya dalam parti itu lebih lama berbanding Ahmad Zahid sendiri.

Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sebelum ini menegaskan, tindakan disiplin boleh dikenakan sekiranya terdapat ahli dan pemimpin UMNO yang didapati menjalinkan kerjasama dengan PKR dan DAP.

Katanya, berkata pihak pimpinan tertinggi parti telah membuat keputusan tidak akan bekerjasama dengan parti-parti itu.