KUALA LUMPUR: Bekas Setiausaha Agung UMNO, Tan Sri Annuar Musa mengingatkan kepada pihak tertentu agar tidak mempertikaikan kesetiaannya terhadap parti itu.

Jelas Annuar, penglibatannya dalam parti itu lebih lama berbanding Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.

"Tanpa takbur, tanpa riak, saya nyatakan, saya lebih senior daripada Presiden UMNO. Waktu saya menjadi ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) tahun 1990, Presiden UMNO belum menjadi ahli MKT.

"Waktu saya menjadi anggota jemaah menteri dalam Kabinet Tun Dr Mahathir, Presiden UMNO belum menjadi ahli jemaah menteri.

"Jadi jangan pertikaikan soal kesetiaan saya. Cuma mungkin pandangan saya ataupun strategi politik saya berbeza dengan Presiden," katanya.

Ujarnya lagi, meskipun berselisih faham dalam parti, namun ia tidak bermakna mereka bergaduh secara peribadi.

Sebaliknya, kata Ahli Parlimen Ketereh itu, mereka hanya menunjukkan rasa sayang kepada parti mengikut cara masing-masing.

Beliau berkata demikian dalam wawancara Bicara Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2020 dalam siaran langsung di laman Facebooknya pada Ahad.

Sementara itu, Annuar turut mengingatkan Ahmad Zahid agar tidak menyembunyikan perkara tertentu daripada pengetahuan ahli parti ia termasuk sokongan terhadap Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

"Boleh bersembunyi dengan orang lain. Tapi tak usahlah bersembunyi dengan saya. Tak perlulah saya tampil ke hadapan, kerana itu tak manis untuk kita bertelagah sesama sendiri.

"Tetapi, yang penting, berkata benar. Jangan menafikan," jelasnya lagi.

Bagaimanapun, Annuar menzahirkan rasa lega apabila Presiden UMNO dalam ucapan dasar Presiden senada dengannya menolak kerjasama dengan Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan DAP.

"Ada perjumpaan berunding dengan DAP, PKR. Tapi tak apa, sekurang-kurangnya hari ini, secara rasmi telah disebut, 'No DAP, No PKR'.

"Alhamdulillah, sependapat dengan saya dan tambah lagi hari ini, 'No Bersatu',” tambahnya lagi.