Sudah sampai masa UMNO mengkaji semula maksud politik wang berunsur pemberian ikhlas atau mengharap balasan sokongan semasa pemilihan parti kelak.

Penganalisis politik, Prof. Dr. Ahmad Atory Hussain berkata, kajian itu akan memastikan pemimpin UMNO lain tidak tersasar dari konsep pemberian wang selama ini.

"Ia juga dapat mengelak persepsi masyarakat pemimpin UMNO menggunakan wang semata-mata untuk mendapatkan pengaruh.

"Kalau betul ikhlas hendak beri kepada ketua cawangan dan tidak ada apa-apa timbal balik. Namun jika maksudnya meminta balasan, kena kaji balik oleh pihak Majlis Tertinggi (MT) dan Jawatankuasa Disiplin UMNO.

"Cuma sekali pandang kita nampak ia satu amalan atau tindakan kurang baik di sisi masyarakat terutama pemberian itu diberi kepada ahli politik dan tidak diberi kepada bukan ahli politik," katanya semasa dihubungi di sini, hari ini.

Pada Jumaat, Penasihat Kerajaan Dalam Hal Ehwal Sosial dan Kebudayaan, Tan Sri Dr. Rais Yatim berkata, pembatalan janji Ketua UMNO Bahagian Sungai Besar, Datuk Jamal Md. Yunos untuk membawa setiap ketua cawangannya bercuti dan ditukarkan dengan wang tunai berjumlah RM1,000 mengesahkan parti itu mengamalkan politik wang.

Tegas Rais, tindakan itu sekali gus memalukan UMNO yang dilabel negatif sebahagian besar rakyat sekarang.

Dalam pada itu jelas Atory, Majlis Tertinggi (MT) dan Jawatankuasa Disiplin UMNO perlu sentiasa memantau pemimpin parti lain yang membuat pengumuman terbuka seperti Jamal.

"Sekarang, ia sudah berlaku secara terang-terang malah diumumkan. Saya fikir ia akan menjadi amalan daripada pihak parti atau ketua bahagian lain untuk mendapatkan pengaruh," katanya.

Sebuah portal sebelum ini melaporkan, Jamal memberitahu dia adalah orang baik dan mempunyai ramai kawan yang murah hati dan sanggup menyumbang sehingga RM50,000 kepadanya.

Bagaimanapun, Jamal mengaku tidak mengambil satu sen pun daripada sumbangan itu, sebaliknya diberikan kepada ahli UMNO dan masyarakat Sungai Besar.

Datuk Seri Najib Tun Razak pada tahun lepas mengumumkan Pemilihan UMNO yang dijadual berlangsung pada Perhimpunan Agung parti tahun ini ditangguh selama 18 bulan.

Menurut Datuk Seri Najib Tun Razak, selaku presiden parti, keputusan itu dibuat bagi memastikan kemantapan ‎parti pada Pilihanraya Umum (PRU) ke-14 nanti.‎