KOTA KINABALU: UMNO masih kekal relevan di Sabah sejak parti itu mula bertapak di negeri di bawah bayu itu 30 tahun lalu.

Penerimaan itu dapat dilihat daripada sudut pandang sebahagian masyarakat di negeri itu yang menilai cara pembelaan kepada masyarakat yang menunjangi perjuangan parti itu, kata penganalisis politik Universiti Malaysia Sabah UMS, Prof Madya Mohd Azri Ibrahim.

UMNO Sabah yang menjejak usia ke-30 tahun pada 21 Februari ini (esok) masih ampuh dan telah teruji pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Ke-16 lalu.

"Kehadiran UMNO di Sabah sehingga ke hari ini saya lihat masih relevan dan akan kekal relevan kerana saya melihat kepada tuntutan pembelaan masayarakat masih lagi menjadi tunjang perjuangan UMNO itu sendiri.

"Dalam konteks dinamik politik kian mencabar tetapi kerelevenannya di Sabah ini masih lagi terbukti dan dapat dilihat pada PRN Ke-16. Kita lihat upaya UMNO bersama Gabungan Rakyat Sabah berjaya membentuk kerajaan dan mengambil pentadbiran daripada Warisan Plus,"  kata beliau ketika ditemui di sini pada Sabtu.

Tambah Mohd Azri, keampuhan pertubuhan itu masih memerlukan sokongan daripada parti gabungan dan masih belum boleh berdiri sendiri biarpun memiliki majoriti bilangan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dalam GRS.

"Berdasarkan prestasi PRN Ke-16, kita lihat UMNO memiliki kerusi yang besar berbanding parti gabungan lain dan dalam erti kata survival, saya percaya masyarakat dan penyokong ataupun penduduk Sabah ingin melihat UMNO menjadi satu parti yang lebih berjaya.

"Tetapi dalam realiti hari ini, jika UMNO berdiri sendiri cabaran sangat besar dan persaingan sangat besar daripada parti tempatan dan gabungan. Jadi lebih baik jika wujud kerjasama politik bagi mengelak persaingan antara komponen berkenaan kerusi.

"UMNO harus bersatu dengan parti-parti lain untuk menjayakan agenda pembangunan, hak Pribumi dan masyarakat Sabah keseluruhannya," katanya.

Bagaimanapun, Mohd Azri berkata, terdapat kemungkinan persaingan antara parti gabungan GRS berlaku pada masa akan datang susulan tuntutan akar umbi.

Bagi mengelak perkara itu berlaku gabungan tersebut, katanya, perlu duduk semeja sekali lagi bagi perbincangan yang lebih mendalam berkenaan perkongsian kuasa.

Jelasnya, perlu ada integriti politik bagi mengelakkan perpecahan.

"Kemungkinan itu wujud, persaingan dalam GRS sendiri tetapi seperti saya maklumkan tadi seharusnya persaiangan dalam satu komponen gabungan kerajaan itu harus dielakkan tetapi realiti politik berbeza, apabila berlaku proses PRU (pilihan raya umum), proses bubar dewan atau Parlimen, di situ akan wujud suasana permintaan, desakan, ugutan terhadap kerusi-kerusi yang dipertandingkan.

"Pada pengamatan saya kemungkinan itu ada, sudah pasti saya harap GRS harus duduk bersama bagi memastikan kemungkinan itu tidak wujud," jelasnya lagi.

Selain itu, kata Mohd Azri, perlu ada penerapan politik nilai dalam UMNO yang harus diamalkan di mana-mana peringkat politik dan memberi penekanan kepada agenda kebajikan rakyat menjelang PRU-15 kelak.