Selepas kritikan daripada beberapa tokoh politik negara termasuk bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, beberapa bekas pemimpin Selangor menyifatkan politik Selangor hari ini sudah semakin tidak tentu arah.

Bekas Menteri Besar Selangor Dr Mohamad Khir Toyo memberitahu, senario politik Selangor akhir-akhir ini juga dilihat semakin kalut dan caca marba.

Jelasnya, dia semakin tidak faham mengenai perkembangan politik negeri itu dan berharap pemimpin berkenaan mengembalikan kegemilangan UMNO semula.

"Saya kurang ariflah politik Selangor sekarang. Sudah caca marba," katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Dr Mahathir dalam tulisan di laman blog, chedet.cc sebelum ini menegur UMNO Selangor supaya memberi lebih tumpuan kepada Generasi Y dan melakukan penyusunan semula pimpinan parti di negeri itu.

Rentetan kritikan itu, Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Selangor, Datuk Seri Noh Omar menjelaskan akan mengadakan pertemuan dengan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak bagi mendapatkan nasihat memperbaiki kelemahan selain berusaha melakukan penambahbaikan dalam parti.

Najib pada Konvensyen UMNO Selangor pada awal November turut meminta UMNO negeri berani mengatur strategi baharu dan membuat perubahan minda jika mahu menawan semula negeri ini.

Najib menggariskan tiga realiti yang perlu diterima UMNO Selangor iaitu kedudukan UMNO sebagai pembangkang di Selangor, kedudukan strategik Selangor sebagai pusat sosio-ekonomi yang rancak dan perlu berusaha menawan sokongan pengundi bandar dan semi bandar.

Dalam pada itu, bekas Koordinator Barisan Nasional (BN) Selangor, Datuk Seri Mohd Zin Mohamed membangkitkan persoalan masihkah ada harapan untuk UMNO negeri kembali menyengat seperti sebelum ini.

"Apa yang berlaku sekarang tidak mengejutkan, ada pemimpin di Selangor sekarang yang bernasib baik kerana masih berkuasa kerana majoriti sokongan bangsa Melayu sendiri di kawasan mereka.

"Keputusan Pilihan Raya Umum (PRU) lepas menunjukkan kegagalan survival UMNO pada kawasan yang mempunyai populasi majoriti kurang 65 peratus Melayu," jelasnya.

Ujarnya yang juga bekas Setiausaha Perhubungan UMNO Selangor, sudah tiba masa untuk parti mencari pelapis muda yang dilihat dapat menawan kembali negeri itu pada PRU akan datang.

"Ada beberapa pemimpin muda yang harus diketengahkan dan dapat menjadi faktor kemenangan UMNO pada masa hadapan, ramai yang ada potensi dan harus dilihat bakatnya," katanya.

Noh sebelum ini dilapor menyeru UMNO negeri untuk mengeratkan perpaduan di kalangan anggota parti komponennya sebagai persediaan menghadapi pilihan raya akan datang.

UMNO kini memegang hanya 18 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor daripada keseluruhan 56 kerusi keseluruhan.

Sementara itu, kajian terbaharu Pusat Kajian Politik dan Pilihan Raya Universiti Malaya (UMCEDEL) menunjukkan BN tidak terjejas langsung dengan kemelut pertukaran Menteri Besar Selangor baru-baru ini malah mendapat tambahan sokongan selepas isu berkenaan.