UMNO tidak pernah terjejas atau terancam dengan pengumuman keluar parti oleh mana-mana bekas pemimpin mereka yang terbukti membawa masalah terutama melibatkan kepercayaan akar umbi.

Exco Pergerakan Pemuda UMNO, Datuk Armand Azha Abu Hanifah berkata, apa yang pasti UMNO terus kuat dan kukuh kerana kekuatan akar umbinya selama ini.

"Kita tidak pernah goyang bila bekas naib presiden UMNO Datuk Seri Shafie Apdal mengumumkan keluar parti tadi. Kita tahu asas perjuangan UMNO sentiasa menjadi panduan serta prinsip dalam hati ahli-ahlinya.

"UMNO sudah biasa lalui 'a perfect storm' seumpama ini dan setiap kali UMNO akan berjaya keluar dari masalah ini malah akan terus kukuh kerana akar umbinya," katanya kepada Astro AWANI di sini hari ini.

Armand mengulas tindakan Shafie yang membuat pengumuman keluar dari UMNO berkuat kuasa serta-merta.

Shafie yang juga Anggota Parlimen Semporna membuat pengumuman itu ketika berucap pada majlis Rakyat Bersama Anggota Parlimen Semporna yang diadakan di pekarangan kediamannya.

Dalam pada itu kata Armand, UMNO turut mengucapkan terima kasih kepada semua pemimpin parti yang pernah bersama dari segi sumbangan serta perjuangan selama ini.

"Pada yang setia dan sentiasa sedia berkhidmat, sama-sama kita rapatkan saf, kuatkan barisan dan perkukuhkan hubungan setiakawan serta persahabatan untuk terus maju sebagai pewaris perjuangan," jelasnya.

Pada 24 Jun lalu, selain menggantung Shafie, Majlis Tertinggi (MT) UMNO membuat keputusan sebulat suara untuk memecat Timbalan Presiden, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Ahli Majlis Tertinggi, Datuk Seri Mukhriz Mahathir.

Mereka dipecat kerana berkongsi pentas bersama pemimpin pembangkang dan menyerang kepimpinan parti, sementara Shafie pula digantung keahliannya.