KUALA LUMPUR: UMNO tidak boleh mempertimbangkan segala tawaran daripada seorang yang sudah tiada keabsahan, apatah lagi bersifat sogokan terbuka dan terdesak hanya untuk memanjangkan hayat politiknya, kata Presiden UMNO Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.

Dalam satu kenyataan, Zahid menegaskan selaku Ahli Parlimen yang berpegang kepada sumpah jawatan untuk memelihara, melindungi dan mempertahankan Perlembagaan, Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin tidak wajar merampas kuasa Yang di-Pertuan Agong dalam menentukan urusan pelantikan Perdana Menteri.

"UMNO mengucapkan penghargaan atas pengakuan YB Pagoh (Muhyiddin) yang akhirnya secara terbuka bahawa beliau sudah tidak lagi mempunyai sokongan majoriti Ahli Parlimen.

"Dengan pengakuan ini, maka YB Pagoh sudah tiada lagi keabsahan untuk menjalankan tugas-tugas selaku Perdana Menteri yang sah sebagaimana Perkara 43(4) Perlembagaan Persekutuan," katanya dalam satu kenyataan.

Zahid juga menjelaskan, UMNO memasihatkan rakyat agar bertenang sehingga Yang di-Pertuan Agong melaksanakan tugas tanggungjawab Perlembagaan baginda di bawah Perkara 40(2) untuk melantik seorang Perdana Menteri baharu dari kalangan Ahli Dewan Rakyat.

Beliau turut menjelaskan bahawa UMNO merakamkan penghargaan setingginya kepada 15 Ahli Parlimen partinya yang setia dan istiqomah mempertahankan pendirian parti untuk terus membela Institusi Raja dan Perlembagaan Negara.

"UMNO tidak boleh mempertimbangkan segala tawaran daripada seorang yang sudah tiada keabsahan, apatah lagi bersifat sogokan terbuka dan terdesak hanya untuk memanjangkan hayat politiknya.

"UMNO menasihatkan agar rakyat dapat bertenang sehingga KDYMM Yang di-Pertuan Agong melaksanakan tugas dan tanggungjawab Perlembagaan baginda di bawah Perkara 40(2) untuk melantik seorang Perdana Menteri baharu dari kalangan Ahli Dewan Rakyat.

"UMNO merakamkan penghargaan setingginya kepada 15 Ahli Parlimen UMNO yang setia dan istiqomah mempertahankan pendirian parti untuk terus membela Institusi Raja dan Perlembagaan Negara," katanya.

 
Sumber Facebook zahidhamidi.fanpage

BACA: PH tolak 7 tawaran Muhyiddin, yakin boleh beri lebih baik kepada rakyat

BACA: Pelaksanaan Undi 18 antara tujuh tawaran Perdana Menteri


Ketika menyampaikan Ucapan Khas pada Jumaat, Muhyiddin memberi tujuh tawaran kepada pemimpin parti pembangkang untuk mendapatkan persetujuan bi-partisan.

Antara tujuh tawaran tersebut ialah membentangkan Rang Undang-Undang (RUU) Anti Lompat Parti di Dewan Rakyat, peruntukan sama rata kepada semua ahli parlimen tanpa mengira parti dan pelaksanaan Undi 18 tanpa perlu menunggu pendaftaran automatik.