UMNO tidak memerlukan orang luar untuk mendedahkan sebarang kepincangan dalam parti itu dan negara, mahupun untuk menjatuhkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.

Pengarah Strategik Komunikasi Barisan Nasional (BN) Datuk Abdul Rahman Dahlan berkata, UMNO juga tidak akan terlepas daripada mana-mana tindakan undang-undang sekiranya melakukan sebarang kesalahan.

Bagaimanapun, katanya, apa yang penting ialah sebarang dakwaan, termasuk mengenai wang RM2.6 bilion yang didakwa dimasukkan ke dalam akaun Najib, ia perlu disiasat dengan adil terlebih dahulu.

"Kalaulah RM2.6 bilion ini duit rakyat dirompak, tak payahlah Clare Brown (editor Sarawak Report), tak payahlah Wall Street Journal, tak payah lagi Sarawak Report nak jatuh presiden UMNO.

"Saya dan orang UMNO akan jatuhkan dia, tetapi kita kena berlaku adil bila ada tuduhan seperti ini.

"Kita tidak boleh menari dan menyanyi mengikut rentak lagu pembangkang.

"Kita nakkan satu penyiasatan dibuat dan bila ada keputusan dibuat kita perlu hormati keputusan tersebut," katanya ketika menjawab soalan yang diajukan oleh pengacara program Lanskap yang disiarkan di TV1 malam tadi.

Menurutnya, bila pembangkang melontarkan satu tuduhan, bukan bermakna tuduhan itu mempunyai asas.

"Saya sudah katakan, bila dilontarkan cerita bahawa RM2.6 bilion datang dari 1MDB. Hari pertama lagi perdana menteri mengatakan ini bukan wang rakyat, bukan tujuan peribadi", katanya.

Sehubungan itu, jelas beliau‎, kerajaan kini berdepan situasi di mana ia kelihatan defensif.

"Tetapi kita defensif ini kerana kita mempunyai strategi, kalau tidak percaya apa yang dikatakan oleh perdana menteri, maka siasat.

"Bila siasat keluar satu kenyataan sama ada duit itu duit rakyat, selesai," katanya lagi.

Beliau menegaskan agar orang awam perlu menghormati keputusan penyiasatan yang telah dibuat.

Pada Isnin, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia, (SPRM) memaklumkan dana RM2.6 bilion yang didakwa dimasukkan ke dalam akaun peribadi milik Najib adalah sumbangan penderma, dan bukannya daripada 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

SPRM melalui satu kenyataan berkata, penemuan itu diperolehi susulan siasatan pihaknya ke atas SRC International Sdn Bhd.