SHAH ALAM: Seorang pengutip hutang yang sebelum ini berdepan dengan pertuduhan melakukan amang seksual fizikal terhadap seorang remaja lelaki, menukar pengakuannya kepada tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini, hari ini.
Mohamad Fadwan Abd Muaain, 42, menukar pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan semula di hadapan Hakim Rasyihah Ghazali.
Mengikut pertuduhan, dia didakwa melakukan amang seksual fizikal terhadap remaja lelaki berusia 14 tahun di sebuah rumah di Seksyen 32, di sini antara 8.05 pagi hingga 11.50 pagi, 11 Mei lepas.
Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 14(d) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan boleh juga dihukum sebat, jika sabit kesalahan.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya KS Rinisha Priyya, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.
Mahkamah kemudian menetapkan 8 Julai bagi serahan dokumen dan lantikan peguam.
Pada 22 Mei, Mohamad Fadwan mengaku bersalah atas pertuduhan itu di Mahkamah Sesyen dengan prosiding hari ini sepatutnya ditetapkan untuk mendengar fakta kes dan rayuan tertuduh sebelum hukuman dijatuhkan.
Di mahkamah berasingan, lelaki terbabit turut dihukum penjara 15 bulan oleh Mahkamah Majistret selepas mengaku bersalah mengurung dan menyebabkan kecederaan kepada remaja berkenaan di tempat dan tarikh yang sama.
Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 342 Kanun Keseksaan dan Seksyen 323 kanun sama yang membawa hukuman penjara maksimum satu tahun atau denda RM2,000 atau kedua-duanya.
-- BERNAMA