KUALA LUMPUR: UMNO dan Barisan Nasional (BN) perlu segera keluar daripada belenggu kerjasama yang lemah seperti Memorandum Persefahaman (MoU) antara Kerajaan dan Pembangkang.

Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi menyifatkan kegagalan usul yang dibawa oleh Kerajaan untuk melanjutkan tempoh tahanan di bawah seksyen 4(5) SOSMA 2012 adalah sesuatu yang mengejutkan, aib dan memalukan bagi pihak Kerajaan.

Justeru itu, beliau berkata, adalah wajar untuk UMNO dan BN menyimpulkan bahawa Pembangkang telah memungkiri janji, melanggar persetujuan dan mengabaikan komitmen mereka sebelum ini.

"Keadaan ini mencerminkan beberapa perkara yang mesti dipandang serius. Pertama, pembangkang sebenarnya tidak berminat untuk mewujudkan kestabilan politik. Malah, PH sebenarnya sangat cenderung untuk melupakan janji dan komitmen mereka dengan mudah. Pada pandangan saya, tidak ada gunanya untuk kita terus berpegang pada janji mereka.

"Kedua, Kerajaan mesti mempunyai majoriti tersendiri. Majoriti yang kuat dan tidak mengharapkan ihsan serta budi bicara Pembangkang. Kerajaan seperti dalam kedudukan sekarang tidak akan dihormati, tidak stabil dan tidak akan berupaya untuk mengemuka dan menjayakan dasar yang baik dengan lancar.

Pada saya, kedua-dua perkara ini adalah bukti jelas bahawa Kerajaan sedia ada sudah tidak dihormati. MoU antara Kerajaan dan Pembangkang juga nampaknya sudah tidak lebih daripada sekadar janji di atas kertas," katanya dalam muat naik di Facebook, pada Khamis.

Mengulas lanjut, Ahmad Zahid yang juga Pengerusi BN berkata, pendirian beliau jelas dengan ketetapan semasa Perhimpunan Agung UMNO (PAU) adalah sesuatu yang rasional dan berasas.

Ahli Parlimen Bagan Datuk itu juga berharap, masyarakat dapat melihat betapa rapuh dan berisikonya bentuk kerajaan yang ada.

"Malah, ia adalah pengajaran yang besar kepada parti politik seperti UMNO dan BN. dan semua ini hanya menguatkan semangat dan kepercayaan saya betapa UMNO harus bangkit kembali sebagai kuasa politik yang kuat, besar dan terhormat.

"Kita mesti berupaya membawa dasar dan usul yang baik tanpa perlu mengharapkan sokongan pihak lawan yang suka menangguk di air keruh.

"Yang pasti, apa yang berlaku ini (kegagalan usul SOSMA 2012) adalah sesuatu yang memalukan Kerajaan. Ia adalah aib yang menuntut kita untuk mengukuhkan diri dengan cara yang strategik dan segera," jelasnya.