SHAH ALAM: Calon Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) di Shah Alam bagi Perikatan Nasional (PN), Dr Afif Bahardin yakin anggota polis dan tentera akan memberi sokongan kepada gabungan parti itu selepas melihat respons positif daripada badan beruniform berkenaan.

Jelasnya, ia berikutan kakitangan awam itu dilihat mahukan sebuah kerajaan yang bersih prihati dengan nasib rakyat.

"Selalunya kita boleh lihat, kerana anggota polis dan tentera ini sebahagian daripada kakitangan awam. Mereka ini menilai siapa majikan yang terbaik.

"Mereka pernah ada majikan BN, majikan PH, dan sekarang majikan mereka, kerajaan PN sebelum ini juga.

"Jadi saya percaya anggota-anggota polis juga faham akan keperluan untuk mempunyai sebuah kerajaan yang bersih dan prihatin kepada rakyat kerana itulah tema kerajaan dalam memberi khidmat kepada rakyat Malaysia," katanya kepada Astro AWANI selepas melawat pusat mengundi awal di Dewan Mes Pegawai Kanan Polis Selangor di Ibu Pejabat Kontinjen (IPK) Selangor di Shah Alam pada Selasa.

Ujarnya, PRU pada kali ini, pengundi kalangan anggota polis terutamanya akan membuat keputusan yang baik dan bersama dengan PN.

"Jadi saya yakin respons yang kita terima sangat baik daripada anggota, baik di luar waktu mereka bertugas, memantau perjalanan kami. Waktu lain juga, polis dan tentera apabila kita sebut PN itu mereka faham dan mereka menunjukkan respons yang baik," tambahnya.

Dalam pada itu, bagi calon Barisan Nasional (BN), Hizatul Isham Abdul Jalil, beliau melihat pentingnya undi anggota polis kepada parti itu.

Jelasnya, BN juga sentiasa menjaga kebajikan polis selama ini.

Dalam masa sama, beliau melihat peluang BN untuk menang adalah lebih baik berbanding  sebelum ini.

"Respons setakat ini Alhamdulillah. Sekarang ini angin sudah berubah berbanding PRU14. Peluang BN untuk menang lebih baik berbanding dulu.

"Jadi, marginnya sama ada menang atau kalau atau kalah mungkin 2,000 atau 3,000 sahaja. Jadi polis juga boleh jadi penentu sama ada kita berjaya atau tidak di sini," kata beliau.

BACA: PRU15: Lumpuh separuh badan tidak halang sarjan mengundi

BACA:  PRU15: Polis Selangor buka 16 kertas siasatan insiden kempen