SEBANYAK tiga Pilihan Raya Kecil (PRK) telah diadakan pada tahun lepas iaitu selepas Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).

Keputusannya, calon Pakatan Harapan (PH) menjuarai ketiga-tiga PRK tersebut dengan cemerlang.

PRK Kerusi Cameron Highlands merupakan PRK pertama bagi tahun 2019 yang menarik perhatian ramai penganalisis politik kerana ia merupakan satu barometer atau isyarat bagi menunjukkan sentimen semasa rakyat dalam persekitaran politik yang banyak berbeza berbanding iklim ketika PRU14 lepas.

PRK P.078 Parlimen Cameron Highlands dijangka menyaksikan pertandingan beberapa penjuru daripada calon-calon pelbagai parti termasuk Barisan Nasional (BN), DAP, MyPPP, PSM dan ada kemungkinan daripada calon bebas.

Namun, PRK ini akan melihat pertembungan hebat antara calon BN dan PH. BN sendiri sudah mengumumkan calonnya iaitu seorang wakil daripada komuniti Orang Asli malahan anak tempatan dari Cameron Highlands yang berpengalaman dan mempunyai kelulusan tinggi.

Walaupun kerusi ini merupakan kerusi tradisi MIC, kepimpinan MIC telah bersetuju untuk meletakkan seorang calon yang mampu menang dalam semangat BN. Dengan ini jelas dan menutup sebarang spekulasi soal kerusi ini dirampas oleh UMNO.

Tan Sri M.Kayveas daripada parti MyPPP juga mengumumkan pencalonanya walaupun parti itu diketahui masih menghadapi krisis kepimpinan dalaman.

Dalam pada itu, PH yang sudah mengumumkan calonnya iaitu M.Manogaran daripada parti DAP sebenarnya pernah bertanding dua kali di kawasan ini dan kalah kepada calon MIC.

Manakala calon MyPPP, Kayveas pernah kalah dalam merebut kerusi Parlimen Taiping pada PRU 13. Percubaannya untuk menjadi calon bagi kerusi Parlimen Cameron Highlands ini pada PRU14 pernah ditolak oleh kepimpinan BN.

Dengan itu, Kayveas terus mengumumkan MyPPP keluar daripada gabungan BN.

Pecahan kaum

Parlimen P.078 Cameron Highlands meliputi dua kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) iaitu N.01 Tanah Rata dan N.02 Jelai. Jumlah pemilih yang berdaftar bagi kerusi Parlimen Cameron Highlands adalah 32,105 orang terdiri daripada 10,752 ( 33.49 peratus) Melayu, 9,467 (29.49 peratus) Cina, 4,836 (15.06 peratus) India dan 7,050 (21.95 peratus) Orang Asli.

Kadar peratusan jumlah pemilih Melayu dan Cina didapati hampir seimbang dalam kawasan Parlimen ini. Namun, undi Orang Asli yang bertaburan dalam 27 kawasan kediaman yang terpencil dijangka memberi impak kepada keputusan pilihan raya.

Kerusi P.078 Cameron Highlands dimenangi oleh BN sejak PRU9 pada tahun 1995. Calon BN memenangi kerusi ini pada PRU11 dengan majoriti 6,260 undi, pada PRU12 dengan majoriti 3117, pada PRU13 dengan majoriti 462 undi dan pada PRU14 dengan majoriti 597 undi.

Walaupun BN menang berturut-turut, sokongan terhadap calon BN dikesan kian menurun. Namun, penganalisis politik mendakwa calon BN memperolehi sokongan hebat daripada pengundi Orang Asli dan Melayu (UMNO).

Misalnya, hampir 85 peratus pengundi Orang Asli didapati menyokong calon BN pada PRU13 dan PRU14.

Dalam pada itu, kita perlu mengambil kira faktor bahawa sokongan yang berterusan pengundi Cameron Highlands kepada calon MIC membantu BN terus mempertahankan kerusi ini ketika sebahagian besar pemimpin MIC di kawasan lain kalah, termasuk Presiden MIC sendiri pada PRU12 yang tercetus akibat gelombang HINDRAF.

Malah, kerusi cameron Highlands ini masih boleh dimenangi oleh Datuk C.Sivaraajh, apabila tujuh calon Parlimen dan 15 calon DUN MIC , termasuk presiden MIC sendiri, terjunam pada PRU14 kerana gelombang PH.

Peluang 50-50

Namun, suasana politik mutakhir menunjukkan peluang bagi calon BN dan PH adalah dikatakan 50-50.

Jadi, kini sokongan ahli dan penyokong setia Pas dijangka menyokong calon BN kerana mereka tidak bertanding dan berhasrat memberi kerjasama kepada BN untuk mengalahkan PH.

Ini bermakna, hampir 3,587 undi yang diperolehi oleh calon Pas pada PRU14 dijangka akan mengalih memihak BN.

Jadi kemungkinan peralihan sokongan ahli dan penyokong Pas kepada BN akan memberi impak yang signifikan kepada keputusan PRK kali ini.



*Datuk M.Periasamy merupakan seorang penganalisis politik, budaya dan tamadun India.

**Kenyataan di dalam artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan Astro AWANI.