Undi percaya pada September munasabah, tidak perlu tergesa-gesa - Penganalisis

Hasimi Muhamad
Ogos 5, 2021 07:22 MYT
Semalam, Perdana Menteri berkata Yang di-Pertuan Agong berkenan untuk beliau menentukan keabsahannya di Parlimen melalui undi percaya pada September ini - fotoBERNAMA
KUALA LUMPUR: Undi percaya yang ditetapkan pada September ini di Dewan Rakyat disifatkan satu tempoh masa yang munasabah berbanding gesaan segelintir pihak agar proses tersebut dipercepatkan.
Pengarah Eksekutif Ilham Centre, Hisomuddin Bakar berpandangan, ia memberi sedikit ruang kepada semua ahli politik untuk bernafas selepas pelbagai drama berlaku dalam arena politik negara.
Jelas beliau, tempoh September ini bagi menentukan keabsahan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin juga dilihat mengambil kira situasi semasa negara khususnya peningkatan kes COVID-19.
"Bagi saya dalam situasi ini sama ada segera atau tidak, kita telah berdepan dengan situasi politik yang seakan-akan menemui jalan buntu, dengan perkembangan yang berlaku mutakhir ini.
"Tetapi dengan melihat kepada pendirian UMNO dan juga sikap ahli Parlimen mereka dengan keputusan politik sebelum ini dan pertembungan kumpulan yang wujud dalam parti berkenaan, ada sedikit ruang untuk kita lebih jelas, sebagaimana apa yang akan berlaku menjelang September nanti. Itu lebih munasabah berbanding dalam tempoh terdekat ini," katanya ketika dihubungi Astro AWANI, di sini hari ini.
BACA: PM masih ada majoriti, usul percaya dibentangkan di Parlimen September ini
BACA: Majlis Presiden PH mahu isu sokongan terhadap PM diputuskan segera
BACA: UMNO cabar Kerajaan buktikan sokongan majoriti di Parlimen segera - Ahmad Zahid
Semalam, Perdana Menteri berkata Yang di-Pertuan Agong berkenan untuk Baginda menentukan keabsahannya di Parlimen melalui undi percaya pada September ini.
BACA: [LAPOR LANGSUNG] 'Ada pihak cetuskan kemelut politik, mahu saya campuri urusan mahkamah' - PM
[TERKINI] Perutusan Khas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin | 04 Ogos 2021
Hisomuddin menambah dakwaan segelintir pihak bahawa majoriti kini sudah beralih kepada blok pembangkang juga tidak menyakinkan dan jelas.
PM masih ada majoriti, usul percaya dibentangkan di Parlimen September ini
"Pendirian politik yang dilakukan oleh UMNO, mereka hanya menolak kepimpinan Muhyiddin dan kerjasama diberikan kepada Perikatan Nasional (PN). Tetapi mereka tidak menyatakan sokongan ahli Parlimen tersebut diberikan kepada blok pembangkang termasuk Pakatan Harapan (PH). Itu tidak jelas.
"Jadi, di sini saya melihat kerana tidak ada jaminan sebegitu, Istana Negara juga melihat perkara ini perlu masa dan munasabah untuk diadakan di sidang Parlimen bagi menguji keabsahan," ujar beliau lagi.
#undi percaya #Tan Sri Muhyiddin Yassin #Perdana Menteri #Perikatan Nasional #Undi percaya September #Parlimen #Keabsahan Perdana Menteri #Pakatan Harapan #Al-Sultan Abdullah #COVID-19 #Politik Malaysia #berita hari ini