KUALA LUMPUR: Majlis Presiden Pakatan Harapan (PH) hari ini mendakwa Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin tidak bercakap benar dan mengelirukan Yang di-Pertuan Agong berhubung isu sokongan majoriti Ahli Dewan Rakyat, sewaktu sesi menghadap di Istana Negara pada Rabu. 

Dalam satu kenyataan hari ini, Majlis Presiden PH mendakwa, mereka sendiri telah membuat perkiraan yang teliti bersama rakan-rakan dari parti-parti pembangkang dan semua yang tidak menyokong Perdana Menteri.

Tambahnya kenyataan itu lagi, ia adalah satu tindakan penderhakaan tertinggi terhadap Ketua Utama Negara dan tidak patut dimaafkan.

“Perkara ini boleh disahkan tanpa sebarang keraguan dengan mengadakan sidang khas Parlimen dengan satu urusan sahaja, iaitu membentang, membahas dan memutuskan undi tidak percaya terhadap Tan Sri Mahiaddin.

“Kami berpandangan mesti ada tindakan tegas terhadap penipuan yang dilakukan di peringkat tertinggi sehingga sanggup tidak bercakap benar dan mengelirukan Seri Paduka Baginda,” menurut kenyataan, hari ini.

BACA: [LAPOR LANGSUNG] 'Ada pihak cetuskan kemelut politik, mahu saya campuri urusan mahkamah' - PM


PM masih ada majoriti, usul percaya dibentangkan di Parlimen September ini


Perdana Menteri | Ada pihak tidak senang hati


Barisan Jemaah Menteri terus berfungsi seperti biasa

Selain itu, Majlis Presiden PH berkata, tindakan menangguhkan usul undi tidak percaya sehingga bulan September adalah amat tidak wajar, dan isu sokongan terhadap Perdana Menteri serta kestabilan Kerajaan Perikatan Nasional mesti diputuskan sekarang.

Dalam Perutusan Khas yang disiarkan secara langsung di Saluran 501 Astro AWANI, PM Muhyiddin menegaskan beliau masih mempunyai sokongan majoriti dan isu peletakan jawatannya sebagai Perdana Menteri tidak berbangkit.

Perdana Menteri berkata, beliau telah menyembah maklum kepada Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah di Istana Negara semalam, bahawa sejumlah Surat Akuan daripada ahli-ahli Dewan Rakyat, yang menurut dirinya masih mempunyai sokongan majoriti.

Selain itu, Muhyiddin berkata, terdapat beberapa pihak yang cuba menangguk di air keruh, dan cuba mengambil kesempatan dengan mencetuskan kemelut politik, selepas beliau enggan melayani tuntutan mereka untuk mencampuri urusan mahkamah.


[TERKINI] Perutusan Khas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin | 04 Ogos 2021

Pada 3 Julai lepas, Presiden UMNO Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi mengesahkan sekurang-kurangnya lapan Ahli Parlimen parti itu tidak lagi menyokong Kerajaan Perikatan Nasional pimpinan Muhyiddin.

Untuk rekod, Perdana Menteri memerlukan sokongan majoriti sekurang-kurangnya 111 Ahli Dewan Rakyat, selepas mengambil kira jumlah kerusi sekarang ialah 220.

Mengulas lanjut, Majlis Presiden PH berkata, selagi isu sokongan terhadap Perdana Menteri ditangguhkan, selagi itulah isu kestabilan dan keberkesanan kerajaan tidak dapat diselesaikan.

“KDYMM Raja-Raja Pemerintah telah bertitah pada 16 Jun yang lalu betapa pentingnya kerajaan itu stabil dan mendapat keyakinan serta mendapat sokongan majoriti rakyat.

“Rakyat yang terus tertekan akibat masalah ekonomi serta pandemik COVID-19, termasuk jumlah kes dan kematian yang begitu tinggi setiap hari, mewajibkan kita menyelesaikan masalah ini sekarang,” katanya lagi.

Selain itu, Majlis Presiden PH memohon agar semua penjawat awam terutamanya badan-badan penguatkuasa terus bertindak secara profesional, neutral dan tidak sesekali mengikut selera politik parti pemerintah.