JOHOR BAHRU: Anak muda di Johor sudah bersedia untuk menjadi sebahagian daripada pemilih setelah mereka yang berumur seawal 18 tahun telah dibenarkan mengundi (Undi18) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor, nanti.

Menerusi tinjauan di Bandar Baru Uda, di sini mendapati, rata-rata mereka meluahkan keterujaan disamping tidak sabar menantikan hari pengundian yang disifatkan sebagai saat bersejarah dalam hidup mereka.

Seorang pelajar kolej, Danish Fannani berkata, untuk membantu golongan ini, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) perlu memainkan peranan penting dalam memberikan taklimat yang jelas berkenaan prosedur membuang undi berikutan majoriti remaja di Johor tidak mempunyai pengalaman mengundi sebelum ini.

"Saya amat teruja tapi dalam masa yang sama saya agak takut, kerana saya baru berumur 19 tahun jadi saya tak tahu sangat cara-cara untuk mengundi dan saya harap SPR dapat ajar kami yang muda-muda ini supaya kami tidak membuat salah semasa mengundi," katanya.

Bagi pelajar Tingkatan 6, Mohamad Asyraf Ismail, dia yang bakal mengundi buat pertama kali pada PRN akan datang, mengharapkan kerajaan yang bakal dipilih nanti dapat mentadbir dengan penuh integriti disamping beramanah dan bertanggungjawab.

"Saya tidak sabar untuk mengundi sebab ini kali pertama saya mengundi, dan saya harap pemimpin yang akan datang ini dapat mengalaskan tugas yang baik serta menjadikan negara sebagai satu negara dan masyarakat yang bersatu padu," katanya.

Bagi Muhammad Ezzad Fidzry Azmi pula, SPR perlu segera menetapkan prosedur operasi standard (SOP) yang lengkap semasa proses pengundian berlangsung, bagi mengelakkan penularan dan jangkitan wabak COVID-19.

"Saya amat berbangga kerana boleh mengundi untuk pemimpin akan datang, tetapi kepada SPR, saya harap SPR boleh menerangkan dengan lebih lanjut SOP yang lengkap semasa proses pengundian nanti," ujarnya.

Melalui pelaksanaan Undi18, jumlah pengundi baharu di Johor mencatatkan peningkatan kira-kira 28 peratus.

Menurut data SPR, seramai 2,597,742 juta pengundi berdaftar layak mengundi pada PRN Johor kali ini.

Terdahulu, SPR menetapkan 8 Mac sebagai tarikh mengundi awal manakala hari mengundi ditetapkan pada 12 Mac 2022 bagi PRN Johor.