KUALA LUMPUR: Pindaan Perlembagaan Persekutuan berkaitan penurunan had umur mengundi kepada 18 tahun, tidak bermaksud ia akan dilaksanakan segera selepas pindaan itu dilakukan pada 2019, demikian persidangan Dewan Rakyat diberitahu hari ini.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-undang) Datuk Seri Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata ini kerana banyak perkara perlu diteliti bagi memastikan pelaksanaannya kelak berjalan lancar termasuk isu daftar pemilih.

"Apabila perlembagaan dipinda pada 2019, jangka masa untuk pelaksanaan di bawah pindaan ini ialah sehingga 2023. Kalau kita lihat jarak masa yang diletakkan oleh pihak Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), semua proses pelaksanaan ini akan siap pada September 2022 dan sistem berkenaan akan berjalan lancar.

"...banyak perkara perlu dibuat contohnya daftar pemilih harus dibersihkan daripada senarai pengundi yang telah meninggal dunia, sakit, gila ataupun masuk penjara. Begitu juga mereka yang umur lebih 90 tahun yang kita ketahui melebihi jumlah 7,000 orang yang belum lagi dibersihkan daripada rekod daftar pengundi.

"Jadi itulah, makanya jangka masa (pelaksanaan Undi 18) itu bukan menjangkakan sistem ini boleh dilaksanakan dalam masa terdekat selepas perlembagaan dipinda," katanya pada sesi soal jawab lisan di Dewan Rakyat hari ini.

Wan Junaidi menjawab soalan tambahan Nik Nazmi Nik Ahmad (PH-Setiawangsa) yang ingin tahu alasan kerajaan perlu menunggu keputusan mahkamah sebelum meneruskan pelaksanaan Undi 18 sedangkan perkara itu merupakan satu pindaan perlembagaan yang telah disepakati rentas parti pada era pentadbiran Pakatan Harapan (PH).

Selain itu, beliau berkata pandemik COVID-19 yang melanda negara turut mengekang pihak kerajaan dan SPR untuk mengambil tindakan secara terperinci bagi melaksanakan pindaan perlembagaan itu.

Menjawab soalan asal Abdul Latiff Abdul Rahman (PAS-Kuala Krai) mengenai langkah yang diambil SPR untuk memastikan pengundi 18 tahun akan keluar mengundi pada pilihan raya umum akan datang, Wan Junaidi berkata SPR melalui Akademi Pilihan Raya (APR) telah melaksanakan Program Pendidikan Pengundi bagi mendekati warganegara khususnya belia yang masih diteruskan sehingga kini.

Beliau berkata sehingga 30 Sept lepas, APR melaksanakan Program Pendidikan Pengundi bersama-sama beberapa institusi pengajian tinggi (IPT) secara bersemuka dengan mematuhi ketetapan prosedur operasi standard (SOP) melibatkan penyertaan 2,740 pelajar manakala Program Pendidikan Pengundi Secara Maya adalah sebanyak 152 program dengan 50,858 jumlah tontonan.

"Program ini bertujuan memberi kefahaman terhadap proses pilihan raya yang dijalankan di Malaysia di samping menjawab isu-isu yang sering dibangkitkan semasa pillihan raya.

"Dengan kesedaran dan kefahaman tentang proses demokrasi dan pilihan raya, maka diharapkan mereka akan menunaikan tanggungjawab untuk keluar mengundi semasa pilihan raya," katanya.

-- BERNAMA