SUSULAN keputusan Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO menggesa Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) diadakan dalam tahun ini juga, pelbagai reaksi masyarakat dapat dilihat terutama di laman sosial.

Ada antara mereka yang seakan-akan kecewa dan enggan meletakkan harapan tinggi mengenai perkembangan politik semasa, manakala satu lagi kumpulan pula kelihatan mahu melakukan sesuatu jika PRU15 tetap diadakan tidak lama lagi.

Semuanya berdasarkan kebimbangan ramai jika PRU15 dilaksanakan ketika musim banjir yang pasti akan menyukarkan banyak pihak, terutama rakyat yang terjejas.

Ramalan cuaca yang dikeluarkan Jabatan Meteorologi Malaysia sebelum ini menyatakan, negara dijangka menerima taburan hujan yang lebih banyak pada pertengahan November ini berbanding bulan-bulan lain.

Meninjau ke laman sosial, rata-rata netizen meluahkan pendapat masing-masing.

"Penat je bagi pendapat...siapalah kita," kata seorang pengguna Twitter, @ob_af.

"Dari parti yang tak menang pilihan raya, yang menentukan nyawa hidup, hala tuju dan nasib negara. Negara yang mereka tak kenal, tak faham atau ambil kisah.

"Allah selamatkanlah kami," luah @abolqazctg di Twitter.

"Rasa nak banjirkan rumah lima orang tu dan ahli keluarga mereka, biar seminggu duduk atas atap rumah tunggu bantuan," kata @shahridzuan pula.

"If #undirabu didn't teach you a lesson, #undibanjir will. Bring it on," kata @kartunisgandum.

"PRU yang lepas saya menyumbang dana untuk bantu orang ramai balik kampung mengundi pada #undirabu, saya akan buat yang sama tahun ini dengan #undibanjir," kata @zakirahz.

Semalam, Mesyuarat MKT UMNO membuat ketetapan supaya PRU15 diadakan pada tahun ini.

Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan, berkata susulan keputusan itu, Perdana Menteri akan mempersembahkan cadangan tarikh pembubaran Parlimen kepada Yang di-Pertuan Agong selaras dengan Perkara 40(1) Perlembagaan Persekutuan.