Sikap ahli-ahli parlimen Pakatan Harapan (PH) yang membantah usul pelantikan Yang Dipertua Dewan Rakyat yang baharu membuktikan mereka tidak layak menjadi kerajaan, kata Ahli Parlimen Padang Rengas Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz.

Nazri menjelaskan apa yang berlaku ketika usul menggantikan Tan Sri Mohamad Ariff Md Yusof dengan Datuk Azhar Azizan Harun membuktikan wakil rakyat PH tidak memahami prosedur.

Beliau menjelaskan kerajaan telah bertindak mengikut prosedur yang betul apabila memutuskan untuk menukar Yang Dipertua Dewan Rakyat sebelum ini.

"Saya tidak faham dengan sikap ahli-ahli pembangkang dalam perkara ini, macam kita tengok ahli parlimen pembangkang Batu Kawan yang terjerit-jerit, 'siapa undi speaker... siapa undi speaker'.

"Apa yang berlaku itu tanda dia tidak faham prosedur dalam isu menukar Yang Dipertua Dewan Rakyat," katanya kepada Astro AWANI.

Nazri juga menjelaskan pembangkang sepatutnya bertindak lebih awal dengan menamakan calon Yang Dipertua yang mereka mahukan.

Katanya, pihak pembangkang sudah mengetahui lebih awal kerajaan akan membawa usul untuk menukar Yang Dipertua Dewan Rakyat.

"Kalau dia cerdik, dia (pembangkang) sepatutnya sudah merancang lebih awal apabila mengetahui usul yang mengosongkan (Yang Dipertua) itu dilulus maka pergi ke usul mengisi, sepatutnya dia kena letak calon dia.

"Jadi kalau dia tidak letak calon, kita (kerajaan) menganggap bahawa Yang Dipertua yang ada ini (Azhar Harun) itu satu-satunya calon.

"Apa yang berlaku semalam itu memang original pembangkang.. sebab itu dia tidak boleh mentadbir dan memerintah sebab dia tak reti.

"Dan apabila dia kembali menjadi pembangkang, inilah perangai dia, bangkang apa saja," katanya lagi.

Mengulas dakwaan pembangkang bahawa kerajaan tidak mempunyai alasan kukuh untuk menggugurkan Mohamad Ariff, bekas Menteri Hal Ehwal Undang-Undang itu menjelaskan perkara itu tidak perlu dilakukan.

"Dari segi prosedur, kerajaan sudah melakukan mengikut prosedur yang betul, tidak ada kecacatan di situ seperti dakwaan pembangkang.

"Kita bukan sesuka hati apabila mahu mengosongkan atau tidak mahu Yang Dipertua, kita umum kosongkan dulu.

"Sebenarnya jika mahu mengosongkan kerusi tidak perlu bagi alasan pun, cukup kita ikut prosedur.

"Sebenarnya kerajaan ini baik, kalau kita bagi alasan, dia tidak neutral lah, dia tidak baguslah, itu semua untuk apa? Kenapa kita nak memburuk-burukkan seseorang individu?" katanya.

Kerajaan berjaya menukar Yang Dipertua Dewan Rakyat pada Isnin biarpun memperolehi undi tipis 111 menyokong berbanding 109 menolak.