Skip to main content

Politik

Wan Saiful tarik balik rayuan pemecatan Bersatu

Foto: Sinar Harian
Wan Saiful berkata, beliau telah pun menghantar surat rasmi kepada Pengerusi Lembaga Rayuan Bersatu bagi memaklumkan mengenai perkara tersebut. - Foto Sinar Harian

SHAH ALAM: Bekas Ketua Penerangan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Wan Saiful Wan Jan menarik balik rayuan yang dikemukakan sebelum ini berhubung hukuman pemecatan yang dikenakan terhadapnya.

Wan Saiful berkata, beliau telah pun menghantar surat rasmi kepada Pengerusi Lembaga Rayuan Bersatu bagi memaklumkan mengenai perkara tersebut..

Advertisement

“Untuk menutup topik ini, saya mahu sebutkan satu perkara. Antara tuduhan kesalahan saya ialah mengusahakan penubuhan Jawatankuasa Eksekutif dan lanjutannya ialah Majlis Presiden dalam Perikatan Nasional (PN).

“Perkara yang sama dilakukan oleh Muhyiddin hari ini. Inilah perkara yang dia tulis dalam suratnya kepada Presiden-Presiden parti dalam PN.

“Inilah hipokrasi Muhyiddin dan penjilatnya,” katanya dalam hantaran di Facebook pada Isnin.

Sebelum ini, Lembaga Disiplin Bersatu memecat keahlian Wan Saiful yang juga Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi susulan pelanggaran perlembagaan dan kod etika parti.

Selain Wan Saiful, tiga pemimpin Bersatu lain yang dipanggil ialah Ketua Bahagian Ampang, Mohd Isa Saidi; Ketua Bahagian Sepang, Datuk Suhaimi Mohd Ghazali; dan Ketua Bahagian Ipoh Timor, Muhammad Fadhli Ismail.

Mereka didakwa terlibat dalam pengumpulan SD dalam kalangan ketua bahagian Bersatu di seluruh negara bagi mengusulkan perbincangan mengenai langkah transisi kepimpinan parti kepada Timbalan Presiden, Datuk Seri Hamzah Zainudin.

Pada Jumaat, Hamzah dilaporkan dipecat daripada keahlian Bersatu berkuat kuasa serta-merta menerusi Notis Pemecatan Keahlian bertarikh 13 Februari 2026 dengan rujukan BERSATU/LD/RPT/108/25.

Menerusi notis berkenaan, Lembaga Disiplin Bersatu memaklumkan keputusan itu dibuat selepas bersidang pada 12 Februari 2026.

Menurut notis itu, keputusan pemecatan dibuat di bawah Fasal 22.5 Perlembagaan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) susulan tindakan Hamzah yang didakwa melanggar Fasal 9.1.4 perlembagaan parti berkenaan. - Sinar Harian

 

 

 

Must Watch Video