Skip to main content

Politik

[TERKINI] Wong Chen umum keluar PKR, sertai Bersama

FB BERSAMA
Rafizi berkata, penyertaan Wong Chen akan turut membantu mempercepatkan penyediaan kertas dasar parti berkenaan, yang dijangka mula diterbitkan menjelang sambutan Hari Merdeka ini dikenali sebagai 'Kertas Kancil'. - Foto Facebook Bersama
Advertisement

KUALA LUMPUR: Bekas Ahli Parlimen Subang, Wong Chen mengumumkan keluar daripada Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan menyertai Parti Bersama Malaysia (Bersama), berkuat kuasa hari ini.

Menurut Pengasas Bersama, Datuk Seri Rafizi Ramli, Wong Chen telah membuat permohonan untuk menyertai parti tersebut secara dalam talian dan dan akan diproses mengikut peraturan keahlian.

Rafizi menambah, penyertaan Wong Chen akan turut membantu mempercepatkan penyediaan kertas dasar parti berkenaan, yang dijangka mula diterbitkan menjelang sambutan Hari Merdeka ini dikenali sebagai 'Kertas Kancil'.

"Seperti semua tahu saudara Wong Chen telah menjadi Ahli Parlimen sejak tahun 2013. Saya dan Wong Chen masuk Parlimen pada penggal yang sama, dan sesuai dengan pengalamannya, beliau akan bertanggungjawab menyediakan persediaan kertas-kertas dasar Bersama," katanya dalam sidang media yang disiarkan secara langsung di Facebook, pada Rabu.

Wong Chen mengumumkan peletakan jawatannya sebagai Ahli Parlimen Subang berkuat kuasa pada jam 5 petang, Isnin lalu.

Beliau berkata, surat peletakan jawatan itu telah diserahkan kepada Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul pada 5 Ogos lalu.

Mengulas lanjut, Rafizi yang juga bekas Ahli Parlimen Pandan berkata setiap satu daripada 12 agenda Bersama akan diperincikan dengan mendalam bagi mencambahkan diskusi awam termasuk bentuk program.

"Setiap kertas dasar ini juga akan mempunyai penyelaras dasar masing-masing yang akan bertindak sebagai jurucakap untuk mewakili Bersama dalam bidang dan juga kumpulan masing-masing," katanya.

Dalam sidang media sama, Rafizi memaklumkan parti itu turut akan memperkenalkan kumpulan yang dinamakan calon bayangan, terdiri daripada tokoh yang dikenal pasti dan ditapis untuk diberi mandat sebagai calon pilihan raya serta menyusun persediaan parti di kerusi yang bakal ditandingi.

Ujarnya, calon berkenaan akan dinamakan lebih awal berbanding parti politik lain sebagai satu pendekatan baharu dalam persediaan menghadapi pilihan raya.

"Mereka ini ialah tokoh-tokoh yang telah dikenal pasti, telah ditapis dan akan diberi mandat untuk menjadi calon bayangan dan juga menyusun persediaan Bersama di kerusi-kerusi yang bakal ditandingi oleh Bersama.

"Maka kita akan menamakan calon-calon lebih awal berbanding dengan parti-parti yang lain sebab itu kita perlu satu kategori kerana ia tidak pernah dibuat di Malaysia. Jadi kita akan ada 'shadow candidates' ataupun calon bayangan," jelas Rafizi.

Tambah Rafizi, proses tersebut akan dimulakan dengan pindaan Perlembagaan Bersama, yang kini sedang diuruskan, selari dengan keperluan undang-undang di bawah Akta Pertubuhan.

Selain itu, Bersama juga mengumumkan tujuh jurucakap yang diberi mandat untuk mewakili parti itu dalam bidang dan kumpulan masing-masing.

Mereka antaranya ialah Ibrahim Sani, yang merupakan bekas Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Peneraju dan pengamal media.

Must Watch Video

Advertisement