Skip to main content

Malaysia

Laporan RCI Tabung Haji diserah kepada agensi penguat kuasa – Fahmi

PUTRAJAYA, 12 Ogos -- Menteri Komunikasi Datuk Seri Fahmi Fadzil (tengah) bercakap kepada media selepas Majlis Penyerahan Sumbangan Penajaan Rakan Strategik Sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia 2026 di Menara Komunikasi hari ini.  Kelihatan ialah timbalannya, Teo Nie Ching (kiri) dan Ketua Setiausaha Kementrian Komunikasi Datuk Abdul Halim Hamzah (kanan).  --fotoBERNAMA (2026) HAK CIPTA TERPELIHARA
Menteri Komunikasi Datuk Seri Fahmi Fadzil (tengah) bercakap kepada media selepas Majlis Penyerahan Sumbangan Penajaan Rakan Strategik Sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia 2026 di Menara Komunikasi hari ini. - Foto Bernama
Advertisement

PUTRAJAYA: Laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) Tabung Haji (TH) diserahkan kepada agensi berkuasa, termasuk Polis Diraja Malaysia, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Bank Negara Malaysia, dan Lembaga Hasil Dalam Negeri untuk melakukan siasatan penuh berdasarkan semua dapatan serta maklumat yang dimaktubkan dalam laporan berkenaan.


Menteri Komunikasi, Datuk Seri Fahmi Fadzil berkata, sebarang keputusan untuk meneruskan atau mengembangkan RCI tersebut memerlukan dua peringkat keputusan, iaitu di peringkat Jemaah Menteri dan perkenan Yang di-Pertuan Agong.


"Pada waktu ini, sebagai permulaan kita akan serahkan kepada pihak berkuasa seperti yang Perdana Menteri telah umumkan, sama ada pihak PDRM, SPRM, AMLA, Bank Negara, LHDN untuk melakukan siasatan penuh berdasarkan semua dapatan.


“Dan juga maklumat yang telah dimaktubkan dalam laporan serta maklumat tambahan yang telah dijawab oleh Menteri Kewangan II dan juga Menteri Agama semalam sewaktu perbahasan mengenai laporan RCI Tabung Haji,” katanya lagi.


Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas Majlis Penyerahan Sumbangan Penajaan HKHM 2026 di Menara Komunikasi, Putrajaya.


Mengulas mengenai sesi perbahasan Laporan RCI TH di Dewan Rakyat, Fahmi memuji tindakan ahli-ahli Parlimen daripada Parti Bersatu, ahli Parlimen Muar (Syed Saddiq Syed Abdul Rahman), serta ahli Parlimen Bebas yang hadir menjalankan tanggungjawab membahas laporan berkenaan.


"Saya lihat setidak-tidaknya pihak ahli-ahli Parlimen dari Parti Bersatu telah menjalankan fungsi mereka semalam dalam sidang khas Dewan Rakyat untuk membahas laporan RCI Tabung Haji dan itu adalah keputusan yang bijak, tepat dan berbeza dengan sikap parti-parti pembangkang yang lain dari Perikatan Nasional," katanya.


Bagaimanapun, beliau menzahirkan kekesalan terhadap sikap parti-parti pembangkang yang lain dari Perikatan Nasional (PN), khususnya Pas, yang bertindak tidak hadir pada sesi perbahasan tersebut.


"Kita kena ingat RCI ini telah ditubuhkan pada tahun 2021. Waktu parti seperti Pas dan juga Ketua Pembangkang merupakan anggota Jemaah Menteri pada waktu itu.

 

"Ia ditubuhkan waktu mereka dalam kerajaan, disiapkan pada tahun 2022 pada ketika mereka juga dalam kerajaan, Menteri Agama adalah dari kalangan Pas. Tapi yang saya kesali, mereka langsung tidak mahu hadir untuk membahas.


“Dan ini saya rasa berbeza, cukup berbeza sikap dengan wakil rakyat ahli Parlimen Muar dan juga ahli Parlimen dari Parti Bersatu, selain daripada ahli Parlimen Bebas," tegasnya.


Mengulas lanjut, Fahmi menyifatkan tindakan tidak hadir membahas laporan berkenaan sebagai satu kegagalan menjalankan amanah kepada 10 juta pendeposit Tabung Haji.


"They have missed a good opportunity. Mungkin... saya pun tak pasti. Mereka ada di situ waktu RCI dimulakan, RCI selesai kerja, tapi mereka enggan hadir untuk membahas. Mereka lari dari apa?


"Betul kata Yang Berhormat Syed Saddiq, mereka tak hadir untuk membahas... Jadi saya kesal dengan sikap pembangkang yang bagi saya tidak menjalankan amanah mereka kepada rakyat dan kepada 10 juta pendeposit Tabung Haji," katanya.

Must Watch Video

Advertisement