Skip to main content

Politik

Alexander sah mahu ‘bersara’ sebagai Ahli Parlimen, sasar kerusi DUN baharu

Alexander Nanta Linggi
Alexander berkata, beliau berminat untuk bertanding di kerusi DUN baharu yang dicadangkan dalam kawasan Parlimen Kapit iaitu Melekun, jika ia sempat diwartakan sebelum PRN Sarawak. - Gambar fail/ ANL Media
Advertisement

KUALA LUMPUR: Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi, mengesahkan akan ‘bersara’ daripada menyandang jawatan Ahli Parlimen selepas memutuskan untuk tidak mempertahankan kerusi Parlimen Kapit pada Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang.

Bagaimanapun, Setiausaha Agung Gabungan Parti Sarawak (GPS) itu menegaskan beliau tidak bersara daripada politik, sebaliknya berhasrat meneruskan perjuangan politik melalui platform berbeza.

Katanya, beliau berasa sudah tiba masanya berbuat demikian selepas hampir 30 tahun berkhidmat sebagai Ahli Parlimen.

Alexander dalam pada itu berkata, berminat untuk bertanding di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) baharu yang dicadangkan dalam kawasan Parlimen Kapit iaitu Melekun, jika ia sempat diwartakan sebelum Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak.

“Saya rasa, saya telah berkhidmat di Parlimen selama enam penggal, yang bagi saya sudah cukup lama. Saya sudah melakukan yang terbaik. Pada masa yang sama, sepanjang tempoh ini, saya juga telah membimbing beberapa orang.

"Pada hari ini, saya dapat melihat ada antara mereka yang jelas cukup berkemampuan untuk mengambil alih daripada saya. Jadi, sebagai pemimpin yang bertanggungjawab, saya merasakan sudah tiba masanya untuk memberi laluan kepada orang yang lebih muda dan dianggap cukup berkemampuan untuk mengambil alih.

"Saya juga mahu mengurangkan aktiviti politik saya, atau lebih tepat lagi, penglibatan politik saya di barisan hadapan.

"Jadi, sekiranya ada kawasan DUN baharu, saya berharap ia diwujudkan. Itulah Melekun. Kalau tidak, tidak mengapa. Saya masih mempunyai pilihan lain," katanya di sini, hari ini.

Beliau berkata, keputusan berundur daripada Parlimen juga memberi ruang untuk beliau menumpukan perhatian kepada pembangunan di peringkat negeri, khususnya di kawasan Kapit.

Mengulas lanjut hasratnya bertanding di DUN Melekun, Alexander berkata perkara itu masih tertakluk kepada proses pengesahan oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

Sebelum ini, Pengerusi GPS, Tan Sri Abang Johari Tun Openg, menegaskan pencalonan Alexander dalam PRN Sarawak masih belum dibincangkan oleh pucuk pimpinan parti.

 

Must Watch Video

Advertisement