KUALA LUMPUR: Angkatan Muda Keadilan (AMK) Parti Keadilan Rakyat (PKR) Cabang Kuala Langat menzahirkan rasa kecewa atas keputusan Ahli Parlimen Kuala Langat, Datuk Dr Xavier Jayakumar meninggalkan parti itu dan mengambil keputusan menyokong kerajaan Perikatan Nasional (PN).

Kata ketuanya, Mohd Shah Rezza Mohd Tuniman dalam satu kenyataan pada Sabtu, pada masa sama, parti itu kini telah dibersihkan daripada pemimpin yang dianggap tiada prinsip perjuangan.

“Angkatan Muda Keadilan Kuala Langat menzahirkan rasa kecewa terhadap keputusan Ahli Parlimen Kuala Langat, YB Datuk Dr Xavier Jayakumar yang memilih untuk keluar dari Parti Keadilan Rakyat dan menjadi ahli parlimen bebas yang menyokong kerajaan Perikatan Nasional.

“Pada masa yang sama kami juga ingin menzahirkan rasa syukur kerana parti ini dapat dibersihkan dari mereka yang tiada prinsip perjuangan. 

“Lebih-lebih lagi mereka yang ingin menutup salah laku ketika mereka berkuasa,” jelasnya.

BACA: Ahli Parlimen PKR lompat parti, apa maksud ciapan Azmin?

BACA: Xavier pernah dakwa 'menteri kanan' paksa sokong PN, atau berdepan tindakan - Saifuddin

Tambah Mohd Shah Rezza lagi, AMK Kuala Langat mengambil keputusan kekal setia bersama PKR dan menolak perbuatan sebarang tindakankhianat.

“Setelah menghadapi pelbagai siri pengkhianatan, kini kami semakin mengenali kawan dan lawan.

“Keadilan (PKR) Kuala Langat masih kukuh dan utuh bagi menterjemah perjuangan reformasi.

“Pemimpin datang dan pergi, pejuang akan terus berjuang,” katanya lagi.

Politik | Xavier Jayakumar umum letak jawatan Naib Presiden & Ahli PKR

Terdahulu hari ini Dr Xavier mengumumkan peletakan jawatan sebagai Naib Presiden dan ahli PKR, parti yang dianggotainya sejak 1998.

Menerusi satu kenyataan yang dimuatnaik di laman media sosialnya, Ahli Parlimen Kuala Langat itu menyatakan rasa tersangat kecewa dengan beberapa perkara yang terjadi sejak tahun lepas.

Dengan peletakan jawatan itu, Dr Xavier berkata, beliau kini merupakan Ahli Parlimen Bebas yang menyokong kepimpinan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Kerajaan Perikatan Nasional.