BAGAN DATUK: Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi, memberi bayangan bahawa beliau kini berada di penghujung perkhidmatan sebagai Ahli Parlimen.

Ahli Parlimen Bagan Datuk itu bagaimanapun berkata, sebelum meninggalkan arena politik, beliau mahu memastikan Bagan Datuk terus maju serta sifar miskin tegar.

"Saya menjadi Ahli Parlimen dari 1995 dan pada hemat saya ia satu perkhidmatan yang sungguh panjang dan saya sedang berada di penghujung perkhidmatan sebagai Ahli Parlimen.

"Tetapi sebelum saya menamatkan itu, saya mahu Bagan Datuk membangun, maju, berada nombor satu dalam pendidikan di perak dan mempunyai infrastruktur yang baik.

"Kita juga mahu kemiskinan dalam kalangan masyarakat India, Cina dan Melayu mesti dibanteras dan inilah azam Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk meletakkan sifar kemiskinan tegar seluruh negara," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majli Santunan Kasih Deepavali Parlimen Bagan Datuk di Dewan Kompleks UMNO di sini, pada Sabtu.

Bagaimanapun, ketika ditemui selepas majlis berkenaan, Ahmad Zahid yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah enggan mengulas lanjut mengenainya.

"Mungkin Pilihan Raya Umum (PRU) 16, 17, 18, jadi kita tunggulah yang sesuai," jawabnya ringkas.

Ahmad Zahid, 70, menjadi Ahli Parlimen Bagan Datuk selama tujuh penggal sejak PRU ke-9 pada tahun 1995 selepas mengalahkan calon parti Semangat 46 (S46) Asha'ri Marsom dengan majoriti 14,830.

Beliau terus mempertahankan  kerusi itu sehingga PRU ke-15 dan dilantik menjadi Timbalan Perdana Menteri pada 2015 sehingga 2018 sebelum sekali lagi dilantik pada 2022.