Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi telah mengemukakan cadangan kepada Perdana Menteri supaya beliau tidak dilantik sebagai anggota Kabinet.

Perkara itu dimaklumkan beliau di hadapan keseluruhan anggota dan kepimpinan UMNO Bahagian Bagan Datuk hari ini.

“Saya yakin, Perdana Menteri (Tan Sri Muhyiddin Yassin) mempunyai pertimbangan-pertimbangan yang sewajarnya untuk melantik mereka yang berkelayakan, berwibawa dan berkemampuan untuk membantunya dalam barisan Kabinet,” katanya.



Beliau yang juga Ketua UMNO Bahagian Bagan Datuk berkata demikian ketika menyampaikan ucapan Perasmian Berkelompok Persidangan UMNO Cawangan-Cawangan Empat Peringkat Dalam Bahagian Bagan Datuk Tahun 2020 di sini pada Sabtu.

Sementara itu, pada sidang media selepas majlis tersebut Ahmad Zahid berkata keputusan yang dibuat beliau itu adalah muktamad.

“Saya sebagai Pengerusi Barisan Nasional (BN) dan juga Presiden UMNO telah memutuskan untuk menawarkan diri agar tidak dilantik dalam sebarang jawatan Kabinet.

“Saya berdoa semoga Allah Taala memberi hidayah kepada YAB PM melindungi Kerajaan Perikatan Nasional, jadikan Malaysia sebagai sebuah negara yang aman damai dan mendapat pengampunan daripada Allah SWT.

“Keputusan saya ini adalah keputusan muktamad setelah mengambil kira semua faktor yang telah saya sebutkan dalam ucapan tadi,” katanya pada sidang media tersebut.

Ujarnya, pengumuman yang dibuat beliau hari ini adalah pemakluman pertama kepada Muhyiddin.