HAMILTON: Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump pada Isnin berkata bahawa jika AS mencapai perjanjian dengan Iran, Washington akan mengambil uranium diperkaya milik negara itu, lapor Anadolu Ajansi.
Apabila ditanya pemberita bagaimana AS akan memperoleh uranium diperkaya Iran, yang menjadi punca pertikaian selama bertahun-tahun antara kedua-dua pihak, beliau berkata: “Ia sangat mudah.”
Advertisement
“Jika kita mempunyai perjanjian dengan mereka, kita akan ke sana dan kita sendiri akan mengambilnya,” tambah beliau.
Beliau berkata kepada pemberita sebelum berlepas untuk lawatan ke selatan AS bahawa pusingan terbaharu rundingan antara Washington dan Tehran, yang menurutnya berlangsung lewat Ahad tetapi dinafikan oleh Iran, menunjukkan bahawa "mereka sangat mahu mencapai perjanjian, dan kami juga mahu mencapai perjanjian."
“Kami akan berhubung hari ini, mungkin melalui telefon,” katanya.
Mendakwa bahawa adalah “sangat sukar” bagi pegawai Iran untuk keluar dari negara itu, Trump turut berkata pegawai AS dan Iran akan bertemu secara bersemuka "pada satu ketika, dalam masa terdekat."
Mengulas pengumuman beliau lebih awal pada hari sama mengenai penangguhan lima hari terhadap serangan ke atas kemudahan tenaga Iran, presiden AS itu berkata: "Kita akan lihat bagaimana perkembangannya. Jika semuanya berjalan lancar, kita akan dapat menyelesaikan perkara ini. Tetapi jika tidak, kita akan meneruskan pengeboman tanpa henti."
-- BERNAMA-ANADOLU