Skip to main content

Malaysia

Op HRA 2026: JPJ ambil tindakan ke atas 14,455 kenderaan

IPOH, 23 Mac -- Ketua Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Datuk Aedy Fadly Ramli (dua, kiri) melihat paparan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) aliran trafik Lebuhraya Utara Selatan sempena Pemantauan Operasi Khas Hari Raya Aidilfitri Tahun 2026 di Pusat Kawalan Menora, di sini, hari ini.  Turut hadir Pengarah Kanan Penguatkuasa JPJ Muhammad Kifli Ma Hassan (kiri).  --fotoBERNAMA (2026) HAK CIPTA TERPELIHARA
Aedy Fadly melihat paparan rakaman CCTV aliran trafik Lebuhraya Utara Selatan sempena Pemantauan Operasi Khas Hari Raya Aidilfitri Tahun 2026 di Pusat Kawalan Menora - Foto BERNAMA

IPOH: Sebanyak 14,455 kenderaan di seluruh negara telah diambil tindakan oleh Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) setakat Isnin sepanjang Operasi Hari Raya Aidilfitri 2026 (Op HRA 2026) daripada 172,479 kenderaan yang diperiksa.

Ketua Pengarah JPJ Datuk Aedy Fadly Ramli berkata tindakan diambil atas pelbagai kesalahan yang melibatkan kenderaan persendirian, motosikal, kenderaan barangan, kenderaan perkhidmatan awam serta bas.

Advertisement

Beliau berkata sebanyak 1,651 slip pemeriksaan turut dikeluarkan, manakala 289 kenderaan disita, termasuk 43 kenderaan barangan kerana tidak mematuhi larangan pemanduan (roadban) yang sedang berkuat kuasa.

“JPJ mengeluarkan 33,402 notis bagi pelbagai kesalahan di bawah Akta Pengangkutan Jalan 1987, termasuk notis JPJ(P)22, notis arah periksa serta notis temu siasat mengikut Seksyen 114 akta berkenaan.

“Kesalahan paling tinggi direkodkan ialah tidak memakai tali pinggang keledar (761 kes), diikuti membawa lebih muatan (353 kes) serta membawa muatan secara bahaya (298 kes),” katanya dalam sidang media selepas melaksanakan Pemantauan Operasi Khas Hari Raya Aidilfitri Tahun 2026 di Pusat Kawalan Menora, di sini, malam tadi.

Selain itu, Aedy Fadly berkata sebanyak 317 kes melibatkan kegagalan mematuhi isyarat lampu merah, manakala 293 kes direkodkan bagi kesalahan tidak memakai topi keledar.

“Kesalahan lain yang mencatat angka signifikan termasuk menggunakan telefon bimbit semasa memandu (207 kes), memandu di lorong kecemasan (124 kes), memotong barisan (132 kes) serta memotong di garisan berkembar (81 kes).

“Analisis mengikut negeri menunjukkan Johor merekodkan kesalahan tertinggi iaitu 881 kes, diikuti Pahang (264 kes) dan Perak (207 kes), khususnya melibatkan kesalahan tidak memakai tali pinggang keledar dan penggunaan telefon bimbit semasa memandu,” katanya.

-- BERNAMA

 

 

 

Must Watch Video