Bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Zaid Ibrahim hari ini melabelkan DAP sebagai 'parti Cina' selepas setahun menyertai parti itu.

Dalam satu kenyataan menerusi akaun twitter peribadinya, Zaid mendakwa 'parti Cina' dalam Pakatan Harapan telah mengumumkan dua bakal menteri sementara parti Melayu pula berdiam diri dalam perkara ini.

Kenyataan Zaid itu dibuat selepas Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng mengumumkan calon yang akan bertanding di kerusi Parlimen Teluk Intan Nga Kor Ming akan dilantik sebagai menteri jika Pakatan Harapan (PH) berjaya mengambi alih pentadbiran kerajaan pusat.

Guan Eng juga pernah mengumumkan Pengerusi DAP Johor, Liew Chin Tong akan dilantik sebagai menteri ketika mengumumkan calon PH yang akan bertanding di kerusi Parlimen Ayer Hitam.

“Parti Cina dalam Pakatan harapan telah umumkan mereka sudah mempunyai dua bakal menteri. Mungkin akan ada lagi.

“Parti-parti Melayu senyap saja dalam isu itu. Begitu biasanya sikap Melayu, malu dan segan untuk suarakan pendangan. Tiada apa yang berubah,” tulis beliau.


Sebelum ini, Zaid mendakwa DAP membuang beliau selepas 12 bulan menyertai parti itu dan menyamakan dirinya dengan bekas Ahli Parlimen Kepong, Dr Tan Seng Giaw yang digugurkan dari bertanding pada PRU14 nanti.

Zaid mengumumkan penyertaan beliau ke dalam DAP dalam satu sidang media di kediamannya kira-kira setahun yang lalu.

Pada 2009, Zaid menyertai PKR dan bertanding di Hulu Selangor pada PRK 2010, namun kalah kepada calon Barisan Nasional (BN), P.Kamalanathan.

Beliau kemudian bertanding merebut jawatan Timbalan Presiden PKR, namun menarik diri pada saat-saat akhir dan bertindak keluar parti.

Sebelum menyertai PKR, Zaid merupakan ahli UMNO dan pernah menjadi ahli parlimen Kota Bharu penggal 2004-2008.

Beliau juga pernah dilantik sebagai Menteri di Jabatan Perdana Menteri selepas Pilihan Raya Umum ke-12 pada 2008 namun mengambil keputusan meletak jawatan beberapa bulan kemudian.

Pada 2010, beliau menubuhkan Parti Kesejahteraan Insan Tanah Air (KITA) dan kemudian meletak jawatan sebagai pemimpin parti itu.