Skip to main content

Dunia

Badan bola sepak Jerman pertimbang bidaan anjur Piala Dunia 2038 atau 2042

81718004764_worldcup.jpg
Jurucakap DFB mengesahkan bahawa persekutuan itu buat kali pertama membentangkan ideanya kepada jawatankuasa eksekutif Liga Bola Sepak Jerman (DFL).

BERLIN: Persekutuan Bola Sepak Jerman (DFB) sedang meningkatkan usaha apabila mempertimbangkan bidaan untuk menjadi tuan rumah Piala Dunia pada 2038 atau 2042, lapor Agensi Berita Jerman (dpa).

Jurucakap DFB mengesahkan kepada dpa bahawa persekutuan itu buat kali pertama membentangkan ideanya kepada jawatankuasa eksekutif Liga Bola Sepak Jerman (DFL).

Setakat ini, belum ada keputusan sama ada menyokong atau menolak bidaan itu.

Menurut akhbar Bild, sebanyak 14 stadium berkapasiti sekurang-kurangnya 40,000 penonton dimasukkan dalam projek berkenaan.

Bandar tuan rumah Euro 2024 iaitu Berlin, Dortmund, Munich, Stuttgart, Frankfurt, Cologne, Dusseldorf, Gelsenkirchen, Hamburg dan Leipzig dipilih bersama Bremen, Kaiserslautern, Monchengladbach dan Hanover.

DFB kini berbincang dengan pembuat dasar mengenai sokongan, termasuk jaminan diperlukan badan induk bola sepak dunia FIFA serta sumbangan kewangan untuk menganjurkan Piala Dunia.

DFB juga merancang mendapatkan penjelasan daripada FIFA mengenai bila badan itu akan menentukan tuan rumah Piala Dunia 2038 dan sama ada calon dari Eropah dibenarkan membida pada waktu itu.

Statut FIFA baru-baru ini ditafsirkan bahawa sesebuah benua perlu menunggu dua pusingan sebelum boleh membida semula untuk menjadi tuan rumah Piala Dunia.

DFB berpandangan Eropah berkemungkinan tidak layak membida sehingga 2042 memandangkan Piala Dunia 2030 sebahagian besarnya akan berlangsung di Sepanyol dan Portugal (bersama Maghribi, selain satu perlawanan masing-masing di Uruguay, Argentina dan Paraguay).

Arab Saudi akan menjadi tuan rumah kejohanan itu pada 2034.

Badan Olimpik Jerman (DOSB) merancang membida Sukan Olimpik Musim Panas 2036, 2040 atau 2044, namun DFB tidak melihat perkara itu sebagai isu.

Sebelum ini, Brazil menganjurkan dua acara besar berturut-turut iaitu Piala Dunia 2014 dan Olimpik 2016 di Rio de Janeiro. Amerika Syarikat (AS) juga akan berbuat demikian dengan Piala Dunia 2026 dan Olimpik 2028 di Los Angeles.

Jerman pernah menjadi tuan rumah Piala Dunia lelaki pada 1974 dan 2006 serta Piala Dunia wanita pada 2011. Negara itu baru-baru ini menganjurkan Euro 2024 lelaki dan akan menjadi tuan rumah Euro Wanita 2029.

-- BERNAMA-dpa

Must Watch Video

Advertisement