TOKYO: Kira-kira 10,000 anggota polis akan dikerahkan bagi mengawal keselamatan sempena upacara pembukaan Sukan Asia yang dijadual berlangsung minggu depan di Nagoya, menurut Agensi Polis Kebangsaan pada Khamis, lapor Kyodo News.
Upacara pembukaan Sukan Asia Aichi-Nagoya pada 19 Sept itu dijangka dihadiri Maharaja Naruhito dan Maharani Masako, antara tetamu lain.
Daripada jumlah berkenaan, kira-kira 3,100 anggota terdiri daripada pasukan khas yang dihantar daripada pasukan polis di seluruh negara.
Kawasan dalam lingkungan kira-kira satu kilometer dari lokasi upacara serta tempat penginapan pasangan diraja akan ditetapkan sebagai zon larangan penerbangan dron di bawah undang-undang yang baru dikuatkuasakan.
Bagi menangani ancaman serangan pengganas “lone wolf”, Agensi Polis Kebangsaan akan menubuhkan sebuah pusat pada Isnin bagi mengumpul maklumat berkaitan, termasuk hantaran berunsur ancaman di media sosial.
Agensi itu turut akan menggunakan kecerdasan buatan (AI) sebagai sebahagian daripada langkah keselamatan.
Korea Utara dan Iran merupakan antara negara yang mengambil bahagian dalam temasya itu, yang akan dianjurkan Jepun buat kali pertama sejak 1994.
Sukan Asia berkenaan, yang sebahagian besarnya berlangsung di Wilayah Aichi akan berlangsung hingga 4 Okt.
Sepanjang temasya itu, atlet turut akan ditempatkan di sebuah kapal persiaran di Pelabuhan Nagoya.
Pihak polis merancang memperketat kawalan keselamatan dengan kerjasama Pengawal Pantai Jepun.
-- BERNAMA-KYODO