Skip to main content

Dunia

Korea Selatan pertimbang mansuhkan pengecualian khidmat tentera bagi atlet, artis susulan kontroversi

Pemain bola sepak pasukan kebangsaan Korea Selatan, Yang Min-hyeok (17)  mencetuskan kecaman awam susulan kenyataannya dalam satu temu bual bahawa beliau hanya memberi tumpuan untuk mendapatkan pengecualian khidmat tentera, bukannya memenangi pingat atau trofi.  - Foto AP
Pemain bola sepak pasukan kebangsaan Korea Selatan, Yang Min-hyeok (17) mencetuskan kecaman awam susulan kenyataannya dalam satu temu bual bahawa beliau hanya memberi tumpuan untuk mendapatkan pengecualian khidmat tentera, bukannya memenangi pingat atau trofi. - Foto AP

Advertisement

Ringkasan AI

  • Kementerian Pertahanan Korea Selatan sedang mempertimbangkan untuk mengehadkan atau memansuhkan pengecualian khidmat tentera bagi atlet dan artis.
  • Langkah ini susulan kontroversi kenyataan beberapa pemain bola sepak kebangsaan yang memfokuskan pengecualian khidmat tentera berbanding memenangi pingat emas Sukan Asia.
  • Kementerian akan mengambil kira keadilan, pengurangan jumlah anggota tentera, dan pandangan masyarakat sebelum membuat keputusan mengenai sistem pengecualian tersebut.

SEOUL: Kementerian Pertahanan Korea Selatan memaklumkan pada Selasa yang pihaknya sedang mempertimbangkan untuk mengehadkan atau memansuhkan sistem pengecualian khidmat tentera bagi atlet dan artis susulan kontroversi berhubung kenyataan tidak wajar mengenai pengecualian itu oleh pemenang pingat emas negara berkenaan pada Sukan Asia, lapor Agensi Berita Yonhap.

Tindak balas orang ramai tercetus susulan kenyataan beberapa anggota pasukan bola sepak lelaki kebangsaan yang secara terbuka menyatakan bahawa fokus utama mereka sepanjang kejohanan adalah mendapatkan pengecualian khidmat tentera, bukannya memenangi pingat emas, sekali gus menghidupkan semula perdebatan berhubung kewajaran sistem pengecualian itu.

“Pada akhirnya, kami merancang untuk mengurangkan atau memansuhkan perkhidmatan gantian, termasuk yang disediakan untuk artis dan atlet dan memasukkannya dalam rangka asas pembaharuan pertahanan,” kata jurucakap kementerian, Chung Binna, dalam taklimat media berkala.

Chung berkata, kementerian akan mengambil kira beberapa faktor termasuk keadilan terhadap mereka yang diwajibkan menjalani khidmat tentera, pengurangan jumlah individu yang sedia untuk menjalani khidmat tentera serta pandangan masyarakat dalam membuat keputusan.

Pasukan bola sepak kebangsaan meraih pingat emas acara bola sepak lelaki pada Sukan Asia Aichi-Nagoya pada Sabtu selepas menewaskan Jepun 1-0, menyebabkan 20 daripada 23 pemain pasukan itu layak menjalani perkhidmatan gantian.

Di Korea Selatan, semua lelaki yang sihat tubuh badan diwajibkan menjalani khidmat tentera selama 18 hingga 21 bulan di bawah sistem kerahan tenaga wajib. 

Bagaimanapun, artis dan atlet yang memenangi anugerah tertinggi dalam pertandingan domestik atau antarabangsa yang ditetapkan kerajaan pada asasnya dikecualikan daripada tugas ketenteraan mereka.

Sebaliknya, mereka diwajibkan menjalani latihan asas selama tiga minggu dan 544 jam khidmat masyarakat dalam tempoh 34 bulan.

Selepas perlawanan pada Sabtu, Yang Min-hyeok, seorang daripada pemain bola sepak pasukan kebangsaan Korea Selatan, mencetuskan kecaman awam susulan kenyataannya dalam satu temu bual bahawa beliau hanya memberi tumpuan untuk mendapatkan pengecualian khidmat tentera, bukannya memenangi pingat atau trofi.

Seorang lagi anggota pasukan itu, Park Seung-soo, memuat naik foto dirinya memakai topi yang lazimnya dipakai oleh mereka yang menamatkan khidmat tentera wajib.

“Dari perspektif Kementerian Pertahanan, kami amat kesal dengan kenyataan yang dibuat oleh sesetengah individu dalam industri sukan,” kata Chung.

“Kementerian berharap pengorbanan anggota angkatan tentera dan pasukan simpanan yang sedang menjalankan tugas pada ketika ini dihormati oleh masyarakat dan budaya yang mengiktiraf nilai khidmat tentera dapat berakar umbi dalam masyarakat,” katanya.

 -- BERNAMA-YONHAP

 

 

Must Watch Video

Advertisement