Skip to main content

Dunia

Piala Dunia 2026: Messi memukau di Dallas, pecah rekod penjaring terbanyak sepanjang zaman

Soccer Football - FIFA World Cup 2026 - Group J - Argentina v Austria - Dallas Stadium, Arlington, Texas, U.S. - June 22, 2026 Argentina's Lionel Messi celebrates scoring their first goal IMAGN IMAGES via Reuters/Troy Taormina
Dua jaringan yang disumbangkan semasa berdepan Austria itu menyaksikan Messi - kapten Argentina mengumpul 18 gol sepanjang karier Piala Dunia, sekali gus memintas rekod legenda Jerman, Miroslav Klose. - Gambar Reuters
Advertisement

ARLINGTON: Lionel Messi mencipta sejarah apabila muncul penjaring terbanyak sepanjang zaman Piala Dunia selepas meledak dua gol dalam kemenangan 2-0 Argentina ke atas Austria dalam aksi Kumpulan J, awal pagi Selasa.

Dua jaringan itu menyaksikan kapten Argentina tersebut mengumpul 18 gol sepanjang karier Piala Dunia, sekali gus memintas rekod legenda Jerman, Miroslav Klose.

Detik bersejarah itu hadir pada minit ke-38 di Stadium Dallas apabila Messi tenang menyudahkan hantaran lintang rendah Facundo Medina, selepas memulakan sendiri gerakan serangan berpasukan yang kemas.

Beliau kemudian melengkapkan jaringan kedua pada masa kecederaan separuh masa kedua apabila pantas menyambar bola di dalam kotak penalti, sekali gus memastikan kemenangan buat juara bertahan.

Bagaimanapun, Messi sebenarnya berpeluang mencipta rekod lebih awal apabila Argentina dihadiahkan sepakan penalti seawal minit kelapan selepas Lautaro Martinez dijatuhkan hasil terjahan Stefan Posch dan Xaver Schlager. 

Namun percubaannya tersasar ke sebelah kiri gawang.

Kegagalan itu bagaimanapun tidak menjejaskan persembahan keseluruhan pemain yang bakal berusia 39 tahun esok itu kembali bangkit dengan aksi berkelas dunia untuk mengukuhkan lagi legasinya di pentas Piala Dunia.

Malah, dua gol tersebut turut menyaksikan Messi melepasi rekod 17 gol milik legenda Brazil, Marta, sekali gus muncul penjaring terbanyak keseluruhan dalam sejarah Piala Dunia merangkumi kategori lelaki dan wanita.

Messi kini telah menjaringkan gol dalam enam perlawanan Piala Dunia berturut-turut, selain mengumpul lima jaringan dalam edisi 2026 termasuk hatrik ketika membantu Argentina membelasah Algeria 3-0 dalam aksi pembukaan.

Sorakan penyokong Argentina yang memenuhi stadium di Dallas jelas menunjukkan betapa besar impak pemain bernombor 10 itu, dengan laungan namanya bergema ketika beliau terus menulis sejarah baharu, lebih empat dekad selepas era Diego Maradona.

Kemenangan itu turut memastikan Argentina mara ke pusingan kalah mati dengan satu perlawanan berbaki, sekali gus mengekalkan rekod sempurna mereka dalam usaha mempertahankan kejuaraan dunia. - Agensi

Must Watch Video

Advertisement