EAST RUTHERFORD, NEW JERSEY: Sepanyol dan Argentina kini bersiap sedia untuk berentap dalam perlawanan akhir Piala Dunia 2026 pada Ahad di New Jersey, ketika penganjur memantau rapi kesan asap kebakaran hutan dari Kanada yang menjejaskan kualiti udara di beberapa kawasan Amerika Syarikat (AS).
Argentina yang diketuai Lionel Messi memburu sejarah untuk muncul pasukan pertama sejak Brazil pada 1962 yang berjaya mempertahankan kejuaraan dunia, manakala Sepanyol mengimpikan gelaran kedua selepas kejayaan sulung mereka pada 2010.
Penganjur kejohanan memaklumkan, mereka sedang memantau perkembangan asap tebal yang menyelubungi ruang udara di beberapa negeri AS.
"Perkara itu telah dibincangkan dan kami mempunyai wakil daripada Perkhidmatan Cuaca Kebangsaan yang berada di ibu pejabat FIFA. Kami memantau situasi ini dengan teliti," kata Pengarah Eksekutif Pasukan Petugas Piala Dunia White House, Andrew Giuliani.
Presiden AS, Donald Trump dijangka menjadi antara lebih 80,000 penonton yang akan memenuhi Stadium MetLife bagi menyaksikan kemuncak kejohanan Piala Dunia terbesar dalam sejarah itu.
Final tersebut merupakan satu-satunya perlawanan Piala Dunia yang akan dihadiri Trump sepanjang kejohanan berlangsung.
Presiden Mexico, Claudia Sheinbaum turut mengesahkan kehadirannya selepas menerima jemputan daripada Trump.
Pada Jumaat, Trump menyifatkan Piala Dunia 2026 yang dianjurkan bersama oleh AS, Mexico dan Kanada sebagai antara kejohanan sukan paling berjaya dalam sejarah dunia ketika menghadiri majlis resepsi bersama Presiden FIFA, Gianni Infantino di New York.
Final dijangka sengit
Kapten Sepanyol, Rodri menjangkakan perlawanan akhir menentang Argentina akan berlangsung dalam suasana yang lebih mencabar dari segi fizikal dan menegaskan pasukannya perlu bersedia menghadapi sebarang provokasi.
Pemenang Ballon d'Or 2024 itu berkata, perlawanan menentang juara bertahan dunia berbeza daripada mana-mana aksi yang pernah dihadapi Sepanyol sebelum ini sepanjang kejohanan.
"Saya fikir perlawanan Ahad ini akan sangat berbeza.
"Ia akan menjadi lebih fizikal dan kami perlu bersedia. Namun, jika ada satu perkara yang menjadi identiti pasukan ini, kami tahu bagaimana untuk menyesuaikan permainan mengikut situasi."
"Kami mampu bertahan, melakukan serangan balas atau menguasai permainan. Kami sebuah pasukan yang lengkap dan itulah sebabnya kami berada di sini," katanya.
Ketika ditanya mengenai kemungkinan Argentina menggunakan taktik provokasi, Rodri hanya menjawab ringkas: "Itu sebahagian daripada bola sepak."
Messi terus cipta sejarah
Jurulatih Argentina, Lionel Scaloni pula menggesa para penyokong menghargai peluang menyaksikan Messi mengetuai Argentina dalam satu lagi final Piala Dunia pada usia 39 tahun.
"Dia telah mencipta sejarah. Dia adalah legenda," kata Scaloni mengenai bekas bintang Barcelona itu yang membantu Argentina menjulang trofi Piala Dunia di Qatar pada 2022.
Sementara itu, penjaga gol Argentina, Emiliano Martinez mengakui kejayaan dicapai pasukan itu sering membuatkan beliau tersentuh emosi.
"Sejujurnya, kadang-kadang saya menangis sendirian apabila mengenangkan apa yang telah kami capai."
"Pesanan saya kepada rakan sepasukan ialah nikmatilah saat ini dan bersedialah dengan senyuman di wajah. Ini adalah kenangan yang akan kami ingati sepanjang hayat," katanya. - Agensi