Skip to main content

Dunia

Isteri inspirasi 'Three Idiots', Sonam Wangchuk, rayu tukar hospital

FILE PHOTO: Abhijeet Dipke, head of the Cockroach Janta Party (CJP) reacts as he holds a picture of Sonam Wangchuk, an Indian education reformer who had been on a hunger strike, after Wangchuk was taken to a hospital by authorities during a sit-in protest called by the CJP to demand the resignation of Indian Education Minister Dharmendra Pradhan, as Dipke sits on an indefinite hunger strike, at Jantar Mantar in New Delhi, India, July 18, 2026. REUTERS/Bhawika Chhabra/File Photo
Abhijeet Dipke, ketua Cockroach Janta Party (CJP), memegang gambar Sonam Wangchuk ketika mogok lapar di Jantar Mantar, New Delhi, bagi menuntut peletakan jawatan Menteri Pendidikan India, Dharmendra Pradhan, 18 Julai 2026. - Reuters.
Advertisement

NEW DELHI: Isteri aktivis sosial India, Sonam Wangchuk, memfailkan permohonan di Mahkamah Tinggi Delhi bagi mendapatkan kebenaran memindahkan suaminya daripada hospital kerajaan ke hospital swasta selepas mendakwa beliau ditahan secara tidak sah.

Gitanjali Angmo berkata, Hospital Safdarjung enggan membenarkan Wangchuk keluar walaupun keluarga sudah beberapa kali membuat permintaan. 

"Sekiranya apa-apa berlaku kepada Wangchuk, pihak hospital dan kerajaan perlu memikul tanggungjawab sepenuhnya.

“Tiada keluarga sepatutnya terpaksa berjuang dengan sistem semata-mata untuk menentukan di hospital mana insan tersayang mereka menerima rawatan,” katanya menerusi hantaran di X hari ini.

Beliau turut mempersoalkan laporan kesihatan hospital selepas mendakwa keputusan ujian darah di makmal bebas menunjukkan bacaan berbeza daripada yang dimaklumkan pihak hospital.

Gitanjali turut mendakwa pergerakan ahli keluarga dikawal ketat oleh pihak berkuasa, selain menyifatkan keadaan yang dihadapi suaminya sebagai satu bentuk "penahanan secara tidak sah".

Wangchuk, 59, memulakan mogok lapar pada 28 Jun sebagai tanda solidariti terhadap bantahan yang digerakkan Cockroach Janta Party (CJP) susulan kebocoran kertas peperiksaan yang menjejaskan jutaan pelajar di India.

CJP merupakan gerakan satira politik yang diasaskan oleh Abhijeet Dipke di media sosial susulan satu kenyataan kontroversi oleh Ketua Hakim India, Surya Kant, yang membandingkan sebahagian belia dan pemohon dengan lipas.

Namun gerakan tersebut membesar sebagai kempen massa dalam memperjuangkan isu keadilan sosial melibatkan isu pengangguran, kebocoran peperiksaan, dan kegagalan institusi awam.

Pada 16 Julai lalu, Mahkamah Tinggi Delhi mengarahkan pihak berkuasa memantau keadaan kesihatan Wangchuk dan mengambil tindakan sewajarnya sekiranya diperlukan.

Sementara itu, penyokong Wangchuk terus berhimpun di Jantar Mantar, New Delhi, bagi menyatakan sokongan terhadap perjuangannya serta menuntut beliau dibenarkan menerima rawatan di hospital pilihan keluarga.

Sonam Wangchuk merupakan aktivis pendidikan, jurutera dan inovator dari Ladakh yang terkenal dengan usaha memperbaharui sistem pendidikan dan membangunkan teknologi mesra alam di kawasan pergunungan Himalaya.

Kisah hidup Wangchuk turut menjadi inspirasi kepada watak Ranchoddas Shamaldas Chanchad dalam filem Three Idiots lakonan Aamir Khan, yang mengangkat tema kreativiti, inovasi dan pembaharuan dalam sistem pendidikan. 

Must Watch Video

Advertisement