Skip to main content

Dunia

Piala Dunia 2026: Trump ucap terima kasih kepada FIFA benarkan Balogun beraksi

Soccer Football - FIFA World Cup 2026 - Round of 32 - United States v Bosnia and Herzegovina - San Francisco Bay Area Stadium, Santa Clara, California, U.S. - July 1, 2026 Folarin Balogun of the U.S. celebrates scoring their first goal REUTERS/Phil Noble
Balogun sebelum ini dijangka terlepas aksi berkenaan selepas dilayangkan kad merah langsung ketika membantu AS menewaskan Bosnia dan Herzegovina 2-0 dalam pusingan 32 terbaik. - Gambar Reuters
Advertisement

WASHINGTON: Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump mengucapkan terima kasih kepada FIFA selepas badan induk bola sepak dunia itu menggantung pelaksanaan hukuman ke atas penyerang AS, Folarin Balogun sekali gus membolehkannya beraksi dalam perlawanan pusingan 16 terbaik Piala Dunia menentang Belgium.

Balogun sebelum ini dijangka terlepas aksi berkenaan selepas dilayangkan kad merah langsung ketika membantu AS menewaskan Bosnia dan Herzegovina 2-0 dalam pusingan 32 terbaik. 

Kad merah itu diberikan susulan semakan VAR yang mendapati beliau memijak kaki pemain pertahanan lawan, Tarik Muharemovic.

Mengikut peraturan FIFA, kad merah langsung membawa hukuman penggantungan satu perlawanan secara automatik. 

Namun, FIFA membuat keputusan menggantung pelaksanaan hukuman tersebut selama setahun, membolehkan Balogun diturunkan menentang Belgium.

Trump menyambut baik keputusan itu dan menyifatkannya sebagai tindakan yang adil.

"Terima kasih kepada FIFA kerana melakukan perkara yang betul dan membetulkan satu ketidakadilan besar," katanya menerusi platform Truth Social.

Balogun merupakan antara pemain utama skuad AS dalam kempen Piala Dunia kali ini dengan tiga jaringan setakat ini. Kehilangannya dalam aksi menentang Belgium dijangka memberi tamparan besar kepada pasukan kendalian Mauricio Pochettino itu.

Sebelum keputusan FIFA diumumkan, Pochettino menegaskan, pemainnya tidak sepatutnya dikenakan kad merah kerana insiden tersebut berlaku ketika perebutan bola dan bukannya tindakan sengaja. 

Balogun pula sebelum ini berkata, dia menerima hukuman berkenaan dan bersedia menyokong rakan sepasukannya dari luar padang sekiranya penggantungan dikekalkan.

Dalam kenyataannya, FIFA memaklumkan, keputusan itu dibuat berdasarkan Artikel 27 Kod Tatatertib FIFA yang membenarkan pelaksanaan sesuatu hukuman digantung bagi tempoh percubaan tertentu. 

Sekiranya pemain terbabit melakukan kesalahan serupa dalam tempoh berkenaan, hukuman asal boleh dikuatkuasakan semula.

Bagaimanapun, keputusan itu mencetuskan kontroversi apabila Persatuan Bola Sepak Diraja Belgium menyuarakan rasa terkejut dan mempersoalkan keserasian keputusan tersebut dengan peraturan kejohanan. 

Badan itu turut memaklumkan sedang meneliti semua saluran yang ada bagi mempertahankan prinsip keadilan serta semangat permainan bersih.

Laporan media turut mendakwa, Trump telah menghubungi Presiden FIFA, Gianni Infantino, bagi meminta kes penggantungan Balogun diteliti semula. 

Namun, FIFA tidak mengulas mengenai dakwaan tersebut atau menjelaskan secara terperinci faktor yang membawa kepada keputusan menggantung pelaksanaan hukuman berkenaan. - Agensi

Must Watch Video

Advertisement