KUALA LUMPUR: Piala Dunia FIFA 2026 adalah lebih daripada sekadar kejohanan sukan kerana ia menyediakan platform untuk memperkukuh kerjasama antarabangsa, persahabatan dan hubungan budaya dalam kalangan negara, kata Duta Mexico ke Malaysia, Luis Javier Campuzano.
“Buat kali pertama dalam sejarah, Piala Dunia FIFA dianjurkan bersama oleh tiga negara iaitu Mexico, Amerika Syarikat (AS), dan Kanada, menjadikannya sebuah Piala Dunia Amerika Utara yang sebenar. Ia melambangkan apa yang boleh dicapai melalui kerjasama, persahabatan, dan keterangkuman apabila negara-negara bekerjasama.
“Di Mexico, bola sepak bukan sekadar dimainkan, ia dihayati. Sukan ini ada di jalanan, medan dan di dalam hati kami,” katanya dalam ucapan aluan sebelum bermulanya perlawanan persahabatan antara wakil-wakil perwakilan asing dari Mexico, Kanada, dan AS di Malaysia menentang Kelab Bola Sepak Ahli Parlimen (MPFC).
Campuzano berkata, semangat kejohanan itu turut dicerminkan melalui acara-acara yang diadakan di seluruh dunia, termasuk perlawanan bola sepak persahabatan malam ini di Stadium Merdeka.
Turut hadir ialah Kuasa Usaha di Kedutaan AS di Malaysia, David H. Gamble Jr. dan Pesuruhjaya Tinggi Kanada ke Malaysia, Jodi Robinson.
Campuzano berkata, penganjuran Piala Dunia itu membawa makna yang amat mendalam buat Mexico memandangkan negara itu melakar sejarah sebagai negara pertama di dunia yang menjadi tuan rumah kejohanan berkenaan sebanyak tiga kali.
“Bagi Mexico, Piala Dunia kali ini juga merupakan “Mundial Social”, satu inisiatif besar untuk memperluas semangat, budaya, dan manfaat kejohanan ini melampaui stadium rasmi ke dalam komuniti di seluruh negara,” katanya.
Beliau berkata, di bawah kepimpinan Presiden Claudia Sheinbaum, inisiatif berkenaan menggunakan bola sepak sebagai alat untuk keterangkuman sosial, pembangunan komuniti, dan perpaduan budaya, dengan visi agar setiap rakyat Mexico berpeluang menikmati dan merasai pengalaman kejohanan mega itu.
“Antara komponen utamanya termasuklah “Mundialitos”, yang melibatkan lebih 74 kejohanan peringkat komuniti dan sekolah di seluruh Mexico bagi menggalakkan penyertaan jutaan golongan muda, projek infrastruktur awam, tayangan awam percuma termasuk siaran Festival Peminat FIFA di kawasan terbuka, serta aktiviti kebudayaan dan pendidikan,” katanya.
“Piala Dunia FIFA 2026 adalah satu jemputan kepada dunia: datanglah ke Kanada, Mexico, dan AS, raikan bola sepak, kenali budaya kami dan alamilah Mexico, sebuah negara yang kaya dengan tradisi luar biasa, layanan mesra, serta antara warisan gastronomi terhebat di dunia,” katanya lagi.
Piala Dunia FIFA 2026 yang merupakan edisi terbesar setakat ini, bakal menyaksikan 48 pasukan bersaing dalam 104 perlawanan di 16 bandar raya tuan rumah bermula 11 Jun hingga 19 Julai, peningkatan berbanding 32 pasukan dan 64 perlawanan pada edisi 2022.
-- BERNAMA