Skip to main content

Dunia

Presiden persekutuan bola sepak Itali letak jawatan susulan kegagalan ke Piala Dunia

Italy's soccer federation president Gabriele Gravina leaves the FIGC (italian soccer federation) headquarters in Rome, Thursday April 2, 2026 after resigning amid political pressure after the national team failed to qualify for a third consecutive World Cup. (Alfredo Falcone/LaPresse via AP)
Gravina meninggalkan ibu pejabat FIGC di Rom selepas meletakkan jawatan susulan kegagalan pasukan kebangsaan layak ke Piala Dunia untuk kali ketiga berturut-turut. - Foto AP

ROM: Gabriele Gravina telah meletak jawatan sebagai Presiden Persekutuan Bola Sepak Itali (FIGC) susulan kegagalan pasukan kebangsaan itu melayakkan diri ke Piala Dunia buat kali ketiga berturut-turut, lapor Agensi Berita Jerman (dpa).

Satu kenyataan FIGC pada Khamis memaklumkan bahawa Gravina mengumumkan keputusannya dalam satu mesyuarat peringkat tinggi dan menggesa pemilihan presiden baharu diadakan pada 22 Jun. Beliau memegang jawatan itu sejak 2018.

Advertisement

Itali tewas 1-4 menerusi penentuan sepakan penalti dalam perlawanan “play-off” menentang Bosnia-Herzegovina pada Selasa, sekali gus terlepas saingan Piala Dunia yang dijadualkan berlangsung dari 11 Jun hingga 19 Julai di Amerika Syarikat, Mexico dan Kanada.

Itali, yang merupakan juara dunia sebanyak empat kali, kali terakhir beraksi di kejohanan global itu pada 2014 namun tersingkir di peringkat kumpulan. Pasukan itu gagal melayakkan diri pada edisi 2018 dan 2022.

Dalam pada itu, status Ketua Jurulatih Gennaro Gattuso sama ada akan kekal mengemudi pasukan masih belum jelas. Pemenang Piala Dunia 2006 itu sebelum ini mendapat sokongan Gravina untuk meneruskan tugasnya selepas perlawanan di Zenica.

Gravina didesak untuk meletak jawatan oleh pihak media dan Menteri Sukan Andrea Abodi, yang menggesa rombakan menyeluruh terhadap struktur bola sepak di negara berkenaan, bermula dengan kepimpinan FIGC.

Kenyataan FIGC pada Khamis turut menyebut bahawa Gravina bersedia untuk hadir di hadapan jawatankuasa parlimen minggu depan bagi "melaporkan status semasa bola sepak Itali".

-- BERNAMA-dpa

 

 

Must Watch Video