NEW YORK: Aryna Sabalenka meneruskan kemaraan dalam usahanya mempertahankan kejuaraan Terbuka Amerika Syarikat (AS) dan kedudukan sebagai pemain nombor satu dunia selepas menewaskan Taylor Townsend, lapor PA Media/dpa.
Pemain Belarus itu menang 6-4, 6-3 di Stadium Arthur Ashe dalam perlawanan yang menyaksikan servis dipatahkan sebanyak 11 kali daripada keseluruhan 19 permainan.
Sabalenka sudah berada di tangga teratas ranking dunia selama 99 minggu, namun beliau perlu meraih kejuaraan ketiga berturut-turut di Flushing Meadows dan pada masa sama berharap pemain nombor dua dunia Elena Rybakina tersingkir sebelum separuh akhir untuk melengkapkan 100 minggu sebagai pemain nombor satu dunia.
Coco Gauff dan Jessica Pegula juga masih berpeluang dalam persaingan empat penjuru merebut kedudukan teratas ranking dunia.
“Ia sangat mencabar, tetapi sekali lagi perkara paling penting adalah memberi tumpuan kepada diri sendiri,” kata Sabalenka, yang bangkit selepas ketinggalan satu servis pada set kedua menentang pemain Amerika Syarikat, Townsend.
“Saya berkata kepada diri sendiri, ‘OK, kamu ketinggalan selepas servis dipatahkan. Cuba balas servisnya dan beri sebanyak mungkin tekanan kepadanya.’
“Saya hanya cuba kekal fokus kepada permainan sendiri, bukan sekadar mata demi mata tetapi bola demi bola.
“Saya gembira kerana berjaya mengubah keadaan pada set kedua dan saya fikir itu detik penting,” kata beliau.
-- BERNAMA-PA MEDIA/dpa