LONDON: Tiger Woods mencapai persetujuan pengakuan bagi pertuduhan memandu secara melulu susulan kemalangan kereta di luar kediamannya di Florida pada Mac, menurut laporan media, lapor PA Media/dpa.
Juara 15 kali kejohanan golf utama itu ditahan dan berada dalam penjara selama lapan jam sebelum dibebaskan dengan ikat jamin selepas Land Rover yang dipandunya terbalik dalam perlanggaran dengan sebuah trak pikap yang menunda treler.
Sebelum ini, menerusi peguamnya, beliau mengemukakan pengakuan bertulis tidak bersalah terhadap pertuduhan memandu di bawah pengaruh bahan terlarang, menyebabkan kerosakan harta benda dan enggan menjalani ujian.
Ketika hadir di Mahkamah Daerah Martin di Stuart, Florida, pada pagi Rabu, Woods dilaporkan bersetuju menerima pertuduhan lebih ringan itu.
Hakim kemudian mengarahkan lesen memandunya digantung selama lima tahun serta mengenakan denda US$1,000.
-- BERNAMA-PA MEDIA/dpa