Skip to main content

Malaysia

Azizulhasni belum putuskan keputusan ke LA28

SEPANG, 4 Ogos --Jaguh berbasikal negara, Datuk Mohd Azizulhasni Awang, menunjukkan pingat emas yang dimenanginya sejurus tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) selepas mengharumkan nama negara pada Sukan Komanwel Glasgow 2026, hari ini.  --fotoBERNAMA (2026) HAK CIPTA TERPELIHARA
Mohd Azizulhasni, menunjukkan pingat emas yang dimenanginya sejurus tiba di KLIA selepas mengharumkan nama negara pada Sukan Komanwel Glasgow 2026, hari ini. - Gambar Bernama
Advertisement

SEPANG: Legenda berbasikal trek negara, Datuk Mohd Azizulhasni Awang belum membuat keputusan sama ada akan meneruskan cabaran ke Sukan Olimpik Los Angeles 2028 (LA28), sebaliknya mahu perkara itu dibincangkan secara terperinci bersama pihak berkepentingan.

Pemenang pingat perak Olimpik Tokyo itu berkata, persoalan utama ketika ini bukan mengenai keinginannya untuk beraksi di LA28, tetapi sama ada khidmatnya masih diperlukan oleh pasukan negara.

Menurutnya, keputusan itu perlu dibuat lebih awal memandangkan proses kelayakan Olimpik yang mencabar bakal bermula, selain Sukan Asia Aichi-Nagoya 2026 yang membuka tirai bulan depan.

“Ini bukan tentang saya hendak pergi Olimpik LA atau tidak, tetapi sama ada Malaysia atau pasukan Malaysia memerlukan saya atau tidak untuk LA.

“Jika pasukan Malaysia atau Malaysia memerlukan khidmat saya, saya boleh buat perancangan,” katanya kepada pemberita selepas tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dari Glasgow, hari ini.

Azizulhasni berkata, perbincangan bersama Kementerian Belia dan Sukan (KBS), Majlis Sukan Negara (MSN) serta Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM) penting bagi menilai keperluan dan perancangan sekiranya beliau meneruskan karier hingga LA28.

Beliau berkata, laluan kelayakan ke temasya Olimpik itu bukan mudah kerana memerlukan penyertaan dalam pelbagai kejohanan antarabangsa, termasuk perlumbaan Kelas 1, Kelas 2 dan Piala Dunia.

“Bagi Olimpik akan datang, kelayakannya sangat rumit. Banyak kejohanan yang kita perlu sertai seperti Kelas 1, Kelas 2, banyak travel, Piala Dunia pun banyak.

“Jadi, akan melibatkan banyak perkara yang perlu dibincangkan,” katanya.

Buat masa ini, fokus Azizulhasni adalah kepada persiapan menghadapi Sukan Asia Aichi-Nagoya 2026 yang dijadual bermula pada 19 September ini.

Namun, atlet berusia 38 tahun itu mengakui secara peribadi, beliau sudah bersedia untuk menamatkan karier sekiranya dapat berbuat demikian ketika berada di kemuncak prestasi.

“Secara jujur, kalau boleh hendak gantung basikal hari ini saja. Saya sangat gembira untuk akhiri karier saya pada kemuncak.

“Saya rasa macam anugerah daripada Allah apabila menang di Glasgow baru-baru ini,” katanya.

Kejayaan terbaharu itu menyaksikan Azizulhasni menamatkan penantian 16 tahun untuk meraih gelaran juara Sukan Komanwel selepas memenangi pingat emas acara keirin di Velodrom Sir Chris Hoy, Glasgow.

Beliau berharap pencapaian tersebut, khususnya kejayaan terus mendominasi perlumbaan di pentas dunia pada usia 38 tahun, mampu menjadi inspirasi kepada generasi baharu atlet berbasikal trek negara.

Must Watch Video

Advertisement