Skip to main content

Malaysia

Bryan teruja beraksi bersama Bonnie, mahu hadiahkan emas buat Malaysia

Sumber: BERNAMA
Junency Gustin berkata, peluang beraksi bersama adiknya, Bonnie Bunyau Gustin di temasya berprestij tersebut menjadi pembakar semangat untuk memberikan persembahan terbaik dan merealisasikan impiannya. - Gambar Bernama
Advertisement

KUALA LUMPUR: Atlet para powerlifting negara, Bryan Junency Gustin meletakkan sasaran pingat emas pada penampilan sulungnya di pentas Sukan Para Komanwel Glasgow 2026, sekali gus muncul sebagai atlet terbaik dalam kategori 88 kilogram (kg).

Abang kepada jaguh para powerlifting negara, Bonnie Bunyau Gustin itu berkata, peluang beraksi bersama adiknya di temasya berprestij tersebut menjadi pembakar semangat untuk memberikan persembahan terbaik dan merealisasikan impiannya.

"Perasaan memang gembira sebab dapat pergi Sukan Para Komanwel bersama adik. Persiapan setakat ini berjalan dengan baik dan saya harap dapat capai sasaran menjadi nombor satu," katanya kepada pemberita ketika ditemui semalam.

Atlet berusia 29 tahun itu berkata, walaupun berjaya melakukan angkatan 190 kg yang juga rekod peribadinya, beliau enggan terlalu yakin kerana belum mengetahui kekuatan pencabar lain dalam acara itu.

"Belum tentu lagi boleh dapat emas sebab belum bertanding dan saya pun belum tahu lagi siapa lawan. Apa yang penting saya mahu buat yang terbaik," katanya.

Bryan berkata, Bonnie turut berkongsi pengalaman dan nasihat menjelang penampilan sulungnya di pentas antarabangsa berkenaan, khususnya supaya tidak memandang rendah kemampuan mana-mana lawan.

"Dia selalu pesan kalau tengok lawan jangan pandang rendah kepada mereka," katanya.

Beliau yang telah menyertai skuad kebangsaan lebih tiga tahun menyifatkan penyertaannya di Glasgow sebagai kejohanan terbesar sepanjang kariernya.

Dalam pada itu, Bryan berkata, keluarganya turut teruja apabila mengetahui beliau dan Bonnie akan sama-sama mewakili Malaysia di Glasgow.

"Mereka gembira sebab kami berdua dapat pergi Sukan Para Komanwel. Mereka akan beri sokongan dari rumah dan menonton melalui televisyen," katanya.

Bryan juga berharap dapat mencipta kenangan manis bersama Bonnie dengan menghadiahkan pingat buat kontinjen negara.

-- BERNAMA

 

 

 

Must Watch Video

Advertisement