KUALA LUMPUR: Keputusan rayuan melibatkan tujuh pemain warisan Harimau Malaya akhirnya menemui titik akhir apabila Mahkamah Timbang Tara Sukan (CAS) membuat keputusan yang sedikit melegakan kem bola sepak negara.
Menurut laporan media tempatan, panel CAS memutuskan untuk melonggarkan hukuman penggantungan terhadap tujuh pemain berkenaan, namun pada masa sama mengekalkan denda sekitar RM1.8 juta yang perlu dibayar oleh Football Association of Malaysia (FAM).
Advertisement
Kontroversi ini bermula apabila FIFA mengambil tindakan disiplin terhadap FAM dan tujuh pemain warisan selepas didakwa berlaku pemalsuan dokumen berkaitan kelayakan pemain untuk mewakili Malaysia.
Tindakan tersebut membawa kepada beberapa hukuman utama:
1) FAM dikenakan denda CHF350,000 (kira-kira RM1.8 juta)
2) Setiap pemain didenda CHF2,000
3) Tujuh pemain digantung 12 bulan daripada semua aktiviti bola sepak.
Kes itu tercetus selepas aduan dibuat berhubung dokumen yang digunakan bagi mengesahkan kelayakan pemain warisan untuk beraksi dalam aksi Kelayakan Piala Asia 2027 menentang Vietnam, yang dimenangi Malaysia 4-0.
Selepas rayuan difailkan oleh FAM dan pemain terbabit, CAS meneliti semula bukti serta hujahan kedua-dua pihak.
Panel CAS memutuskan penggantungan pemain dikurangkan dan tidak sekeras keputusan awal FIFA namun denda terhadap FAM dikekalkan, sekali gus memaksa badan induk bola sepak negara menanggung bayaran tersebut.
Keputusan itu dianggap 'meringankan hukuman' terhadap pemain, walaupun kesan kewangan kepada FAM masih kekal.
Keputusan CAS memberi sedikit kelegaan kepada pasukan kebangsaan kerana pemain terbabit masih boleh meneruskan karier mereka, khususnya menjelang beberapa kejohanan penting di peringkat Asia.
Namun, isu ini tetap memberi kesan besar kepada reputasi pengurusan bola sepak negara, memandangkan kontroversi tersebut turut menarik perhatian komuniti bola sepak antarabangsa.
Pada masa sama, ia menjadi pengajaran penting kepada FAM agar memastikan proses dokumentasi dan kelayakan pemain dilakukan secara telus serta mematuhi peraturan FIFA bagi mengelakkan insiden sama berulang. - Stadium ASTRO