Skip to main content

Malaysia

Cheng Hoe akui kekangan pelepasan pelain jejas persiapan Harimau Malaya

SHAH ALAM, 15 Julai -- Ketua Jurulatih Interim Harimau Malaya Tan Cheng Hoe ketika ditemubual pada sesi persiapan dan latihan Harimau Malaya menjelang kempen Piala ASEAN 2026 di Padang Sime Darby, hari ini.  --fotoBERNAMA (2026) HAK CIPTA TERPELIHARA
Cheng Hoe ketika ditemu bual pada sesi persiapan dan latihan Harimau Malaya menjelang kempen Piala ASEAN 2026 di Padang Sime Darby, Shah Alam, pada Rabu. - Gambar Bernama
Advertisement

SHAH ALAM: Ketua jurulatih interim Harimau Malaya, Tan Cheng Hoe mengakui persiapan skuad negara bagi menghadapi Piala Hyundai ASEAN 2026 sedikit terjejas apabila beberapa pemain dalam perancangannya tidak mendapat pelepasan daripada kelab untuk menyertai pasukan.

Bagaimanapun, beliau yakin barisan pemain yang dipanggil, sebahagian besarnya pemain muda dan muka baharu, mampu membentuk keserasian dalam tempoh beberapa hari berbaki sebelum kejohanan berlangsung.

 "Sudah tentu dengan situasi sebegini, saya ambil itu sebagai satu cabaran kerana kita tahu selalunya pertandingan AFF (Persekutuan Bola Sepak ASEAN) berlaku di luar tarikh kalender FIFA (Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa), sedikit sebanyak menjejaskan persiapan pasukan juga.

"Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada kelab yang melepaskan pemain mereka. Walaupun ada sebahagian kelab tidak dapat memberikan pelepasan, saya tetap positif dengan barisan pemain yang kita miliki sekarang," katanya kepada pemberita ketika ditemui semasa kem latihan pusat, di sini, pada Rabu.

Cheng Hoe berkata, tempoh persiapan yang singkat menuntut setiap pemain menyesuaikan diri dengan segera, selain memahami corak permainan dan taktikal yang bakal diterapkan sepanjang kempen berkenaan. 

Ditanya mengenai sasaran peribadi, beliau memilih untuk bersikap realistik dengan mengambil pendekatan fokus kepada satu perlawanan ke satu perlawanan.

“Kita tidak boleh terburu-buru. Kami akan pantau setiap perlawanan terutamanya tahap kecergasan bagi mengelakkan sebarang kecederaan serius yang boleh menimpa pemain,” katanya.

Harimau Malaya akan membuka kempen Kumpulan B menentang Myanmar di Stadium Thuwunna pada 25 Julai, sebelum berdepan Laos di Stadium Bolasepak Kuala Lumpur, Cheras (28 Julai), Thailand di Stadium Rajamangala Bangkok (1 Ogos) dan Filipina di Cheras pada 8 Ogos.

Dua pasukan teratas setiap kumpulan mara ke separuh akhir secara timbal balik pada pertengahan Ogos, manakala final dijadualkan berlangsung pada 22 dan 26 Ogos.

-- BERNAMA

Must Watch Video

Advertisement