Skip to main content

Malaysia

Formula 1: Nilai pulangan ekonomi, bukan prestij semata-mata - Penganalisis

71719570981_TBPekanRamli.jpg
Pekan berpandangan kejayaan F1 Gulf Air Bahrain Grand Prix di SIC perlu dinilai berdasarkan pulangan pelaburan dan keberkesanan kos kepada Malaysia. - Gambar fail
Advertisement

KUALA LUMPUR: Penganjuran Formula 1 (F1) Gulf Air Bahrain Grand Prix di Litar Antarabangsa Sepang (SIC) pada Oktober depan tidak seharusnya diukur berdasarkan prestij semata-mata.

Sebaliknya, Penganalisis Sukan, Datuk Pekan Ramli berpandangan, kejayaan penganjuran itu perlu dinilai berdasarkan pulangan pelaburan (ROI) dan keberkesanan kos kepada Malaysia.

"Apa yang penting sekarang ialah sama ada kos yang ditanggung itu berbaloi dan sepadan dengan manfaat yang diperoleh dalam tempoh singkat Malaysia menjadi lokasi gantian bagi perlumbaan ini," katanya ketika dihubungi Astro AWANI hari ini.

Menurut Pekan, penanda aras utama bukan sekadar impak terhadap jenama negara kerana Malaysia sudah mempunyai reputasi yang kukuh sebagai tuan rumah perlumbaan MotoGP.

Beliau berkata, kejayaan penganjuran perlu diukur berdasarkan keberkesanan kos operasi yang ditanggung berbanding manfaat ekonomi yang diterima, sekali gus memastikan setiap perbelanjaan memberi pulangan yang setimpal.

Pada 1 Julai lalu, Menteri Belia dan Sukan, Dr Mohammed Taufiq Johari berkata, penganjuran MotoGP Malaysia 2024 menjana pulangan ekonomi kira-kira RM694 juta serta mewujudkan lebih 4,400 peluang pekerjaan.

Beliau berkata, penganjuran perlumbaan itu turut merekodkan pulangan pelaburan (ROI) sekitar 6.3 kali ganda kepada negara.

Walaupun Bahrain dijangka menanggung sebahagian besar kos pemindahan perlumbaan itu, Pekan berpandangan aspek pulangan ekonomi kepada Malaysia tetap perlu diberi perhatian.

"Kita mahu melihat satu model kerjasama yang mampan antara kerajaan dengan pihak swasta atau sektor korporat bagi membiayai penganjuran acara seperti ini.

"Dengan cara itu, sekiranya Malaysia menjadi tuan rumah Formula 1 pada masa hadapan, kos penganjuran tidak akan terus membebankan kewangan kerajaan," katanya.

Peminat sukan permotoran di Malaysia turut berpeluang menyaksikan Formula 1 Gulf Air Bahrain Grand Prix menerusi Astro dan beIN SPORTS apabila perlumbaan itu berlangsung di Sepang dari 2 hingga 4 Oktober depan, sekali gus menyaksikan aksi Formula 1 kembali ke litar itu buat kali pertama sejak 2017.

Terdahulu, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim merakamkan penghargaan kepada Kerajaan Bahrain atas kesediaannya menjadikan Malaysia sebagai lokasi gantian bagi penganjuran Formula 1 Gulf Air Bahrain Grand Prix.

Must Watch Video

Advertisement